Persatuan Peranakan Suluk Tetap Sokong Parti Warisan Sabah

1069
Lakson Datu Majindi, kanan dan Mustapha Abik

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Persatuan Peranakan Suluk Sabah (PPSS) tidak akan menyokong kemasukan parti luar sebaliknya akan terus menyokong Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko).

Setiausaha Agung PPSS Datu Lakson Datu Majindi dan Ahli Majlis Tertinggi PPSS Mustapha Abik dalam kenyataan bersama menyatakan Warisan dan Upko dilihat mampu memperjuangkan hak dan kepentingan setiap kaum di negeri ini.

“Kami yakin perjuangan Warisan dengan kerjasama parti lain mampu membangunkan ekonomi, sosial dan budaya di Sabah tanpa perlu membawa masuk parti luar,” katanya.

Dengan itu, PPSS ingin menyatakan pendirian secara jelas bahawa persatuan ini tidak menyokong kenyataan Presiden Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida) Sabah Datu Akjan Datu Ali Muhamad yang mendakwa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) itu berjaya mengumpulkan 19,000 orang termasuk 12,000 ahli Pekida untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

“PPSS adalah sebuah badan NGO yang memperjuangkan hak dan kepentingan masyarakat Suluk yang sekian lama menetap di Sabah mengambil pendekatan berkecuali untuk menyertai BERSATU.

“Bagi pihak PPSS, kami menyarankan Presiden Pekida itu supaya tidak melibatkan diri dengan politik dan jangan libatkan kaum Suluk dalam politik Pekida yang kebanyakan ahlinya adalah suku kaum Tausug,” ujarnya.

Pada 3 Januari, Akjan mendakwa NGO itu berjaya mengumpulkan 19,000 orang termasuk 12,000 ahli Pekida untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Katanya, semua 150,000 ahli Pekida Sabah dijangka mendaftar sebagai ahli BERSATU dalam tempoh enam bulan akan datang.

NGO berkenaan akan menjadi salah satu daripada tiga kumpulan yang cuba membawa BERSATU masuk ke Sabah walaupun banyak pihak yang menentang kemasukan BERSATU ke negeri ini, termasuklah parti pemerintah Warisan dan rakan sekutunya Upko, PKR dan DAP.

Akjan menyatakan beliau memutuskan untuk menyertai BERSATU berbanding Warisan kerana tertarik dengan ideologi dan perjuangan parti itu yang berpegang kepada lima prinsip Rukun Negara dalam mempromosikan masyarakat yang adil dan harmoni.