Persatuan Pengasuh Minta Ibu-Bapa Hantar Anak-Anak Bagi Pemeriksaan HFMD

644
Gambar Hiasan. – Gambar Ihsan Medicina Oral S.L.

LABUAN: Persatuan Pengasuh Berdaftar Labuan meminta ibu bapa dan penjaga supaya menghantar anak-anak mereka menjalani pemeriksaan tangan kaki dan mulut (HFMD) terlebih dahulu sebelum dihantar ke pusat asuhan seperti Tadika dan Taska.

Pengerusinya Suzana Karumin berkata pemeriksaan itu perlu berikutan meningkatnya kes HFMD seiring dengan pembukaan penggal tadika dan taska awal tahun depan.

Beliau mendedahkan bahawa 90 peratus kanak-kanak berusia antara tiga bulan hingga empat tahun yang diletakkan di bawah pusat penjagaan kanak-kanak Tadika dan Taska telah mengikuti ibu bapa dan penjaga masing-masing ke tanah besar ketika cuti sambutan Krismas.

Suzana Karumin
Pengerusi Persatuan Pengasuh Berdaftar Labuan

“Kami mahu memastikan semua kanak-kanak bebas daripada gejala kes HFMD sebelum memasuki pusat jagaan demi kebaikan mereka serta kanak-kanak yang lain ,” katanya.

Suzana berkata ini merupakan usaha persatuan bagi menentukan tiada tadika dan tabika yang diberikan notis penutupan ekoran HFMD.

“Ibu bapa akan terpaksa bersusah payah mengambil cuti sekiranya pusat jagaan kanak-kanak diarah tutup ekoran wabak itu,” katanya.

Pada Rabu, Jabatan Kesihatan Labuan mengeluarkan amaran mengenai kes HFMD dari luar yang menyebar dikalangan kanak-kanak di sini menjelang bermulanya musim persekolahan bulan depan.

Pengarahnya Dr Ismuni Bohari berkata sejak beberapa tahun kebelakangan ini sejumlah besar kes HFMD yang dilaporkan adalah dari luar.

“Kami mengeluarkan peringatan kepada tadika dan pusat jagaan kanak-kanak supaya sentiasa berwaspada tentang kemungkinan penularan wabak itu,” katanya kepada Bernama.

Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini sejumlah 246 kes telah dicatatkan dan 10 tadika dan pusat jagaan kanak-kanak di sini diberikan notis penutupan.

Jabatan Kesihatan Sabah mencatatkan 940 kes HFMD dan 30 insiden wabak sehingga Mei tahun ini.