Persatuan Pelayaran Sabah dominasi Navy Day Open Regatta 2019

468
Frankie bersama Ahmad Hilmi bergambar dengan pemenang Navy Day Open Regatta 2019

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Pasukan Persatuan Pelayaran Sabah (Saila) mendominasi Kejohanan 9th Navy Day Open Regatta 2019 setelah memenangi enam daripada tujuh kategori dipertandingkan.

Kejohanan selama dua hari (13-14 April) yang diadakan di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu menyaksikan penglibatan 60 peserta perahu layar mengambil bahagian dalam tujuh kategori iaitu Optimist, Laser Standard, Laser Radial, Laser 4.7, International 470, Windsurf Open dan Bic Techno.

Enam atlet sukan perahu layar daripada Saila yang menjuarai kategori masing-masing ialah Mohamad Syahieradham Raiman bagi kategori Optimist; Muhammad Afiq Irsyad Adam (Laser Radial); Mohammad Shahieran Raiman (Laser 4.7); Nur Aishah Rose Ramlee (International 470); Muhd Hafizzzal Zailan (Windsurf Open) dan Nurul Afiqah Insyirah Adam (Bic Techno).

Untuk kategori Laser Standard, pemenangnya ialah Muhammad Fadzlin Hassan dari Persatuan Pelayaran Brunei Darussalam (BDYA).

Dalam kategori lain iaitu Optimist Novice, Bibi Qeesha Mohd Faizal dari Kelab Perahu Layar Kinabalu (KYC) muncul juara dan bagi kategori Optimist Novice untuk Kelab Perahu Layar TLDM Kota Kinabalu (NYCKK) pula dimenangi oleh Nur Khairunnisa Amni Kamarulazam.

Frankie (tengah) menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang, turut kelihatan Ahmad Hilmi

Kejohanan yang menyaksikan NYCKK sebagai Tuan Rumah itu turut disertai oleh atlet dari Kelab Perahu Layar Tawau (TYC) dan Kelab Perahu Layar Sandakan (SYC).

Selain itu, acara Mega Dive 3.0 yang disertai 79 penyelam dari pelbagai agensi termasuk media turut diadakan pada Sabtu.

Antara acara lain yang turut diadakan adalah sukan perahu naga, pertandingan memancing dan peraduan mewarna kanak-kanak yang terbuka kepada keluarga anggota TLDM dan juga orang awam.

Panglima Logistik Timur merangkap Commodore Kelab Perahu Layar TLDM Laksamana Pertama Syed Ahmad Hilmi Syed Abdullah berkata, Kejohanan 9thNavy Day Open Regatta dan Mega Dive 3.0 itu diadakan bagi menyemai budaya cintakan lautan dalam membentuk kekuatan mental dan fizikal dalam kalangan generasi muda.

Disamping itu, program sebegitu juga dilihat akan membantu mendidik dan mendedahkan generasi muda tentang usaha memulihara persekitaran dan sumber-sumber laut dengan baik agar ianya dapat menyumbang kepada potensi pelancongan dan menjadi sumber berharga kepada maritim negara.

”Kejohanan Regatta itu juga akan membolehkan kita mencungkil dan melahirkan atlet muda yang berpotensi bagi mewakili negeri dan negara dalam kejohanan sukan perahu layar.

”Sukan ini sememangnya mampu menerapkan ketahanan mental dan fizikal anak-anak muda agar dapat membina sikap berdaya saing untuk mencapai kejayaan,” ujarnya ketika Majlis Penutupan Navy Day Open Regatta 2019, di sini pada Ahad.

Majlis penutupan dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Menteri Belia & Sukan Datuk Frankie Poon.

Menurutnya, acara yang diadakan ini juga dilihat akan mendekatkan lagi hubungan antara warga TLDM dengan masyarakat awam disamping dapat memupuk hubungan kerjasama antara TLDM dan agensi lain yang terlibat.

Turut hadir ialah Panglima Armada Timur Laksamana Madya Datuk Abdul Rahman Ayob.