Persatuan Hotel yakin Pantai Timur Sabah selamat dikunjungi pelancong

109
Gambar hiasan.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Sabah yakin Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) mampu mengawal kawasan seluas 1,400km dari Kudat hingga ke Tawau termasuk melindungi resort-resort yang berada di kawasan pulau di Pantai Timur Sabah.

Pengerusi MAH Sabah Gordon Seet berkata, biarpun berlaku insiden penculikan nelayan berhampiran Tambisan, Lahad Datu pada awal pagi Selasa, MAH Sabah yakin negeri ini masih selamat untuk dikunjungi pelancong.

Katanya, aktiviti ke pulau-pulau juga selamat untuk dijalankan memandangkan Esscom memberi jaminan keselamatan di kawasan Pantai Timur Sabah masih terkawal.

Oleh itu, beliau berharap pelancong terus berkunjung ke Sabah bagi menyaksikan sendiri destinasi menarik di negeri ini yang mempunyai tarikan alam semulajadi antara yang terbaik di Asia Tenggara.

Pengunjung juga disaran supaya membuat tempahan penginapan lebih awal berikutan hotel di Semporna dan Lahad Datu biasanya penuh.

MAH Sabah mengeluarkan kenyataan ini berikutan insiden penculikan terbaharu yang melibatkan 10 anak kapal nelayan yang dipercayai berada di lautan semasa Perintah Berkurung sedang berjalan.

Pada Selasa, 10 anak kapal yang belum disahkan kewarganegaraan mereka dipercayai diculik kumpulan bersenjata yang dipercayai Kumpulan Abu Sayyaf berhampiran Tambisan, Lahad Datu.

Kesemua anak kapal itu dipercayai dibawa ke Pulau Sitangkai, Selatan Filipina yang terletak 15 minit perjalanan menaiki bot dari perairan Tambisan.