Perpustakaan Sabah Berpotensi Tarik Penyelidik Luar Negara

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Tanjung Aru perlu dilengkapi dengan jurnal dan buku ilmiah yang bermanfaat untuk penyelidikan bagi menarik penyelidik dari dalam dan luar negara untuk berkunjung ke perpustakaan yang dibina dengan rekaan unik ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, masyarakat sanggup terbang dari satu tempat ke satu tempat bagi mendapatkan maklumat berhubung penyelidikan yang dijalankan.

“Ada kalanya di universiti ada maklumat dan buku yang spesifik tidak dapat diperolehi. Maka, sekiranya perpustakaan sebegini dipenuhi dengan kemudahan buku yang cukup baik, ia bolehkan masyarakat mempunyai bahan rujukan yang sesuai dan mereka akan berkunjung ke sini. Bukan hanya pelajar sekolah rendah dan menengah, pelajar universiti serta penyelidik juga akan datang.

“Masyarakat sanggup terbang dari satu tempat ke satu tempat misalnya ada yang sanggup datang ke perpustakaan di United Kingdom kerana banyak maklumat boleh diperolehi di sana.

“Misalnya mahu buat tuntutan Sipadan-Ligitan di mahkamah antarabangsa. Kita perlu buat penyelidikan dan fakta yang ada untuk membuat penentuan dan mengemukakan tuntutan dalam mahkamah kerana ada fakta-fakta yang boleh diperolehi.

“Oleh itu, sekiranya perpustakaan mempunyai bahan rujukan yang sesuai, pasti ramai yang akan datang ke Sabah, mungkin peguam dan penyelidik.

“Orang luar suka berkunjung ke Lembah Danum dan Kanyon Imbak kerana keunikan tempat-tempat ini. Jadi sebelum mereka berkunjung ke situ, mungkin mereka boleh singgah ke perpustakaan ini bagi mendapatkan sedikit maklumat dan gambaran mengenai tempat yang mereka akan kunjungi,” katanya ketika Sidang Media selepas Majlis Perasmian Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Tanjung Aru, di sini pada Khamis.

Mohd Shafie berkata, kerajaan mungkin boleh membantu mendapatkan tajaan untuk menjalin kerjasama dengan perpustakaan di luar negara bagi mencetak mahupun membuat salinan buku dan jurnal yang boleh dimanfaatkan oleh penyelidik antarabangsa.

Katanya, beliau percaya ramai penyelidik ingin mengetahui maklumat tentang kekayaan sumber alam yang terdapat di negeri ini.

Perpustakaan yang dibina dengan kos hampir RM60 juta ini memiliki reka bentuk yang sangat unik dan bermotifkan corak budaya tempatan, iaitu rekaan bermotifkan suku kaum Murut.

Beliau juga mahu masyarakat setempat memanfaatkan perpustakaan sebegitu untuk mengamalkan budaya membaca sejak dari peringkat umur kanak-kanak.

Untuk mengalakkan lagi masyarakat Sabah membaca, kerajaan akan membina dua lagi perpustakaan baharu iaitu di Kunak dan Tenom. Pembinaan itu akan membolehkan hampir keseluruhan daerah di Sabah mempunyai prasarana perpustakaan untuk kemudahan pelajar sekolah dan orang awam.

Ditanya adakah kerajaan akan menekankan konsep bangunan unik bermotif tempatan sebegitu dalam pembinaan bangunan baharu pada masa akan datang, Mohd Shafie berkata, beliau akan mengalakkan pembinaan bangunan dengan corak bermotifkan tempatan sebegitu.

“Kita telah mengalakkan pengarah Jabatan Kerja Raya dan ketika itu Menteri Pembangunan Infrastruktur (Datuk Peter Anthony) ada di situ agar apabila membina bangunan, ia perlu dibina sebagai bangunan pintar (smart building).

“Ia kerana ada kalanya apabila kita buat bangunan, ia tidak lagi boleh diperbesarkan dan jika mahu perbesarkan terpaksa merobohkan keseluruhan bangunan, itu memerlukan kos yang tinggi,” ujarnya.

Katanya, beliau mahu bangunan yang dibina juga mempunyai rekaan yang bermotifkan budaya tempatan agar ia mampu menarik perhatian pengunjung luar. Orang luar akan mula mencari maklumat tentang keunikan rekaan dan motif tempatan dalam bangunan-bangunan yang dibina.