Permohonan Salleh Sertai PKR Belum Diputuskan

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Majlis Pimpinan Negeri (MPN)  Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah yakin PKR Pusat akan menghormati pandangan dan keputusan pimpinan negeri berhubung permohonan kemasukan Datuk Seri Salleh Said Keruak ke dalam parti itu.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi PKR Sabah, Datuk Christina Liew berkata, jika PKR Pusat meluluskan permohonan bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia itu, beliau akan membincangkannya dengan pimpinan negeri.

“Ia bukan tentang saya terima atau tidak keputusan yang dibuat. Saya mewakili kepimpinan negeri akan bawa isu berkaitan Sabah untuk dibincang dengan lebih lanjut dengan pimpinan peringkat negeri, itu prosedur kita.

“Bagaimanapun kami sentiasa mengalu-alukan sesiapa sahaja yang ingin menyertai parti asalkan individu itu ikhlas ingin berjuang untuk keadilan, kesaksamaan dan reformasi,” katanya ketika ditanya adakah beliau akan menerima sekiranya PKR Pusat meluluskan permohonan Salleh.

Menurutnya, dalam mesyuarat Biro Politik PKR yang diadakan minggu lalu, belum ada sebarang keputusan dibuat sama ada meluluskan atau menolak permohonan kemasukan Salleh ke dalam parti itu.

Ditanya sekiranya permohonan Salleh diluluskan dan diberikan jawatan tertentu, Christina berkata, PKR Sabah mempunyai barisan kepimpinan negeri sendiri.

Namun, beliau tidak mahu membuat sebarang spekulasi mengenai pemberian jawatan dalam PKR Sabah.

Katanya, jawatan dalam kepimpinan PKR Sabah sudah diisi sepenuhnya semasa pemilihan parti yang diadakan Disember tahun lalu.

Mengenai tindakan PKR Sabah terhadap Ketua Wanitanya, Rahimah Majid yang mengkritik Ketua Menteri dan kerajaan Sabah atas pelantikan Datuk Amarjit Singh sebagai Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Christina berkata, perkara itu diserahkan kepada Biro Disiplin PKR Sabah.

Beliau berkata, biarlah biro berkenaan yang menjalankan kajian dan membuat keputusan tentang perkara itu.

Katanya, biro disiplin akan mengemukakan cadangan kepada Jawatankuasa Disiplin PKR Pusat untuk tindakan selanjutnya.

Salleh, yang juga bekas Bendahari Umno Sabah mengemukakan permohonan menyertai PKR pada 5 Oktober.