Permohonan Pas Sektor Perladangan Dibuka, Syarat Ketat Ditetapkan

1803
Musa Sulaiman 

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Jawatankuasa Program Regularisasi Sektor Perladangan dan Pertanian Sabah yang ditubuhkan di bawah Jabatan Imigresen negeri diaktifkan bermula hari ini bagi menyelesaikan masalah kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Filipina dan Indonesia yang bekerja di kedua-dua sektor berkenaan.

Pengarah Imigresen Sabah, Datuk Musa Sulaiman dalam satu kenyataan berkata, melalui program itu, majikan boleh memohon pas lawatan kerja sementara atau pas tanggungan bagi setiap pekerja yang telah bekerja dengan mereka sebelum 1 Januari 2019.

Menurut beliau, pemberian pas berkenaan bagaimanapun perlu menepati beberapa syarat ketat antaranya setiap PATI mesti mempunyai passport yang sah dari negara asal mereka dan perlu membayar kompaun yang ditetapkan terlebih dahulu.

Katanya, pemberian pas berkenaan dijangka membantu menyelesaikan isu keselamatan disebabkan kehadiran PATI di negeri ini serta membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi negeri melalui kedua-dua sektor tersebut.

Jadual pembayaran kompaun yang perlu diselesaikan oleh setiap pemohon sebelum pas dikeluarkan.

“Program ini memberi peluang kepada majikan dalam sektor perladangan dan pertanian yang sedang menggaji PATI untuk mendapatkan pas yang sah bagi pekerja-pekerja mereka.

“Membantu agensi penguatkuasa merancang tindakan penguatkuasaan yang lebih berkesan pada masa hadapan” katanya.

Jelasnya, setiap PATI turut dibenarkan mendaftar isteri atau anak masing-masing selepas membayar kompaun yang ditetapkan.

Tegas beliau, setiap PATI itu adalah yang dikategorikan di bawah kesalahan Seksyen 6(1)(c) dan 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 sahaja dan telah berada di Sabah sebelum 1 Januari 2019.

Bagi pekerja yang tidak mempunyai passport katanya, majikan boleh mendaftarkan mereka dengan syarat dokumen tersebut dipohon daripada kedutaan atau pejabat konsulat negara masing-masing selepas permohonan kuota diluluskan.

“Program ini bermula 1 April hingga 30 September 2019, walau bagaimanapun tarikh permohonan kuota majikan adalah dari 1 April hingga 30 Jun 2019 sahaja.

“Setiap permohonan hanya diterima di Bahagian Pekerja Asing, Ibu pejabat Kota Kinabalu sahaja dengan menyediakan senarai lengkap pekerja yang hendak didaftarkan.

“Setelah permohonan kuota diluluskan, majikan perlu mengemukakan pasport pekerja untuk tindakan lanjut di mana-mana pejabat Imigresen seluruh negeri,” tambahnya.