Perlu Ada Kerangka Peraturan Untuk Operasi STRA

Oleh SURAYA SHANAZ
KOTA KINABALU: Persatuan Hotel Bajet Malaysia (Mybha) Sabah berpendapat bahawa perlu ada satu kerangka peraturan untuk mengatur operasi penginapan kediaman jangka masa pendek (STRA) di negeri ini.

Pengerusinya, James Ong, berkata

ia penting dibuat oleh pihak berkuasa bagi memastikan operasi STRA dalam keadaan teratur.

“Kami meminta agar STRA diatur sebaiknya dan bukannya diharamkan. Pengusaha STRA juga tertakluk kepada syarat biasa seperti perlu ada lesen dan diinsuranskan dengan betul serta mematuhi keperluan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Oleh itu pelancong antarabangsa yang tinggal di STRA juga perlu membayar cukai pelancongan,” katanya dalam sesi pertemuan bersama Timbalan Ketua Menteri yang Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Christina Liew.

Dalam pada itu Ong turut mencadangkan agar kupon perjalanan diberikan dan digunakan untuk menginap di hotel berlesen di Sabah.

Ini katanya, akan memberi lebih banyak rangsangan kepada rakyat Malaysia untuk melakukan perjalanan pasca COVID-19.

Beliau juga meminta semua pengusaha hotel agar disediakan dengan  prosedur operasi standard (SOP) dalam aspek kebersihan terutama ketika penularan COVID-19.

Mengenai isu kenaikan harga dan harga promosi yang tidak terkawal, Ong berkata harga minimum hotel mengikut kategor masing-masing adalah perlu dan dan ia harus dipatuhi oleh hotel terbabit.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pelancongan Sabah (STA), Tonny Chew pula berkata

seperti pemain industri pelancongan lain, pihaknya juga berharap tempoh moratorium pembayaran pinjaman dilanjutkan.