Perkukuh Kerjasama, Bangun Ekonomi Sabah & Kalimantan Timur – Shafie

Mohd Shafie (dua kiri) bersama Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong (tiga kiri), Menteri Pelajaran & Inovasi Datuk Yusof Yacob (kiri) beramah mesra dengan Isran Noor (empat kanan).

Oleh SURAIDAH ROSLAN
BALIKPAPAN, INDONESIA: Hubungan kerjasama antara Sabah dan Kalimantan Timur perlu diperkukuhkan bagi membolehkan ekonomi kedua-dua wilayah terus membangun.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata,
seiring langkah pemindahan ibu kota Indonesia ke Kalimantan Timur (Kaltim), kerjasama ekonomi dan perdagangan harus dipertingkatkan agar pembangunan yang ada dapat dikongsi bersama.

Mohd Shafie bersama Isran Noor ketika sidang media selepas sesi dialog itu, turut kelihatan Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew.

Katanya, pemindahan ibu kota Indonesia dari Jakarta ke Kaltim itu bukan hanya memberi manfaat kepada wilayah itu sebaliknya, ia turut memberi limpahan ekonomi kepada wilayah di Kepulauan Borneo seperti Sabah, Sarawak dan Brunei Darussalam.

“Selaku negara jiran,saya yakin jika hubungan ini dirapatkan, banyak kelebihan yang akan diperolehi.

“Kalimantan Timur mempunyai kekayaan minyak dan gas sama seperti Sabah. Maka, persamaaan itu harus dimanfaatkan bagi menjadikan rantau ini mempunyai kuasa yang kuat dari segi politik dan ekonomi,” katanya ketika pertemuan dan sesi dialog bersama Gabenor Kalimantan Timur Isran Noor, Ahli Parlimen serta Walikota Balikpapan, di sini pada Isnin.

Mohd Shafie berkata, jika hubungan persahabatan yang kian lama terjalin antara Malaysia-Indonesia ini dirapatkan, banyak kebaikan diperolehi berbanding pertelingkahan.

Menurutnya, dalam kehidupan manusia, pertelingkahan bangsa dan agama boleh menjejaskan perpaduan.

Dalam membangun ekonomi di rantau ini, beliau telah menggalakkan pelabur di Malaysia terutama Sabah agar turut melabur ke negara jiran seperti Indonesia untuk memakmurkan ekonomi dan persaudaraan dengan negara jiran.

Mohd Shafie dan Isran Noor merakamkan gambar kenangan barisan menteri dan pegawai Kerajaan Sabah serta barisan Ahli Parlimen & Walikota Kaltim

Sementara itu, Gabenor Kaltim berkata, selaku sebuah wilayah yang besar dan mempunyai jiran tetangga di Borneo, mereka amat mengalu-alukan hubungan kerjasama dalam sektor ekonomi, budaya dan seni bersama dengan Sabah,Malaysia.

Beliau juga menerima baik langkah memperkukuh kerjasama ekonomi antara Kaltim dan Sabah.

BERITA BERKAITAN :-

Shafie Ketuai Delegasi Sabah Ke Kalimantan Timur