Perkhidmatan Doktor Udara Lawatan Klinik Bergerak Sahaja Dihentikan

1897
Pemberhentian Perkhidmatan Doktor Udara di Sabah hanya melibatkan lawatan klinik bergerak manakala perkhidmatan pemindahan pesakit dan kes kecemasan menggunakan helikopter akan diteruskan.
Pemberhentian Perkhidmatan Doktor Udara di Sabah hanya melibatkan lawatan klinik bergerak manakala perkhidmatan pemindahan pesakit dan kes kecemasan menggunakan helikopter akan diteruskan.

KOTA KINABALU – Pemberhentian Perkhidmatan Doktor Udara (PDU) di Sabah hanya melibatkan lawatan klinik bergerak manakala perkhidmatan pemindahan pesakit dan kes kecemasan menggunakan helikopter akan diteruskan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Sabah, Dr Christina Rundi berkata pemberhentian PDU bagi lawatan klinik bergerak berkenaan dibuat atas pertimbangan kos serta pembatalan penerbangan yang sering berlaku.

Katanya PDU negeri Sabah berpangkalan di dua tempat iaitu Kota Kinabalu dan Sandakan dan melalui perkhidmatan itu, kampung-kampung akan dilawati sebulan sekali untuk perkhidmatan kesihatan.

“Walau bagaimanapun, sering berlaku pembatalan penerbangan akibat keadaan cuaca dan masalah teknikal mengakibatkan kampung tersebut tidak dapat dilawati dan penduduk kampung terpaksa menunggu lawatan pada bulan berikutnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari Jumaat.

Disebabkan keadaan itu, kata Dr Christina, ia bukan saja menyusahkan penduduk kampung tetapi juga boleh memudaratkan pesakit seperti ibu mengandung, kanak-anak yang memerlukan imunisasi dan mereka yang memerlukan rawatan berterusan seperti pesakit Hipertensi dan Diabetes.

JKN Sabah akan terus memastikan akses dan kesaksamaan dalam penyaluran perkhidmatan kesihatan ke semua pelusuk negeri agar rakyat negeri ini dapat menikmati kesihatan yang baik dan optima, kata Dr Christina.

Christina Rundi
Christina Rundi

Menurutnya Kementerian Kesihatan Malaysia melalui JKN Sabah menyediakan perkhidmatan Klinik Bergerak melalui udara, darat, sungai dan laut dan sehingga bulan ini terdapat dua pasukan PDU iaitu satu Perkhidmatan Klinik Bergerak (PKB) menggunakan bas, 23 pasukan PKB menggunakan jalan darat, sungai dan laut dan dua Klinik 1M.

Katanya JKN Sabah akan menambah 11 pasukan PKB lagi berikutan pembelian kenderaan untuk PKB pada tahun ini dan penambahan pasukan ini membolehkan penyampaian perkhidmatan kesihatan ke kampung-kampung yang sebelum ini mendapat perkhidmatan PDU.

Melalui PKB Darat ini, perkhidmatan dapat diberi dengan lebih berkualiti pada kos yang lebih rendah, di samping mengurangkan pembatalan perkhidmatan seperti yang berlaku dengan PDU.

Katanya kontrak pengendalian PDU oleh Syarikat Sabah Air Sdn Bhd telah bermula pada 1 April 2012 sehingga 31 Mac 2016 dan disambung enam bulan sehingga 30 Sept 2016 atas permohonan syarikat berkenaan bertarikh 4 Sept 2015.

Berdasarkan tatacara perolehan sedia ada, tender yang baru perlu dibuat bagi setiap kontrak yang telah tamat dan melalui kajian pasaran, harga yang ditawarkan syarikat-syarikat yang berminat melebihi nilai kontrak sedia ada, katanya.

“JKN Sabah berharap isu ini tidak akan disensasikan untuk kepentingan pihak tertentu,” katanya.