Perkhidmatan Awam Sabah Ke Arah Transformasi Digital Sepenuhnya

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Sistem perkhidmatan kerajaan negeri maju setapak ke arah transformasi digital sepenuhnya melalui pelancaran e-tukar dan e-peperiksaan dalam Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (JPAN) bermula hari ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong berkata, kedua-dua sistem itu yang dibangunkan pakar tempatan menunjukkan kerajaan berada di landasan tepat ke arah perkhidmatan berkonsepkan kepada 5A iaitu ‘any mobile, accessible, anywhere, anytime dan anyone’.

Katanya, e-peperiksaan bertujuan membolehkan penjawat awam menjalani peperiksaan tanpa kertas manakala e-tukar pula menawarkan pilihan untuk permohonan pertukaran terus ke unit lain tanpa perlu melalui cadangan daripada ketua jabatan.

“Mereka boleh menduduki peperiksaan secara dalam talian, log masuk kepada akaun masing-masing dan mereka akan menjawab soalan-soalan peperiksaan yang mana peperiksaan ini merupakan keperluan perkhidmatan awam untuk membolehkan mereka pengesahan jawatan, kenaikan pangkat dan sebagainya.

“Ini adalah antara dua sistem yang sedang kita bangunkan, iaitu sebanyak 150 sistem digital dalam perancangan kita untuk jadikan Sabah kerajaan berteraskan digital jadi kita memang pada bulan Disember, Januari dan Februari ini sedang berusaha untuk mendigitalkan semua sistem perkhidmatan sama ada sistem dalaman atau pun sistem yang melibatkan awam dan perniagaan,” katanya.

Kedua-dua sistem itu dilancarkan Safar bersama Ketua Pengarah JPAN, Datuk Datu Rosmadi Datu Sulai yang turut dihadiri semua Setiausaha Tetap kementerian di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri pagi ini.

Safar berkata, Sabah dijangka akan beralih sepenuh kepada sistem digital dalam tempoh lima tahun lagi iaitu di peringkat dalaman atau urusan penjawat awam serta peringkat perkhidmatan kepada rakyat.

Menurut Safar, sebelum ini Jabatan Tanah dan Ukur telah beralih kepada sistem digital iaitu pemilik geran tanah hanya perlu menggunakan nombor geran dan membuat pembayaran menggunakan Sabah Pay yang mudah diakses menggunakan peranti elektronik.

“Jadi kita ingin mempercepatkan semua perkhidmatan-perkhidmatan kita ini dan kita melihat bahawa tidak ada cara untuk mempercepatkan perkhidmatan ini kecuali melalui transformasi digital dan inovasi digital.

“Kita mengimpikan bahawa semua perkhidmatan awam negeri ini nanti akan dapat diakses 24/7 dan perkara-perkara yang orang awam tidak perlu datang ke pejabat cukuplah untuk mereka mencapai telefon bimbit dan sebagainya untuk mereka mendapatkan perkhidmatan daripada kerajaan,” katanya.