Perkeso Sumbang 280 PPE Kepada Petugas Barisan Hadapan

KOTA KINABALU: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menyumbangkan 280 set peralatan perlindungan diri (PPE) kepada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) untuk kegunaan petugas barisan hadapan.

Penyerahan telah dibuat oleh Pengarah Pejabat PERKESO Negeri Sabah, Dr. Mohd Ali Bin Hindia kepada Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr. Christina Rundi dalam satu majlis sederhana di pejabat Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) pada Jumaat.

Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Sri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, menyedari keperluan mendesak terutamanya PPE oleh petugas barisan hadapan di Sabah yang berdepan dengan risiko Covid-19 dan bilangan kes yang tinggi, Perkeso telah mengambil inisiatif untuk menghasilkan PPE bagi menampung keperluan tersebut.

Kesemua 280 set PPE telah dihasilkan di Bengkel Jahitan Vokasional, Pusat Rehabilitasi Perkeso Tun Abdul Razak, Melaka dalam tempoh lima hari.

Set PPE tersebut dihasilkan oleh 15 orang termasuk pelatih vokasional dan Orang Berinsurans Perkeso yang sedang menjalani rawatan pemulihan di pusat ini.

“Perkeso bukan sahaja menyediakan faedah kepada pekerja yang terbencana, malah kami juga mengutamakan keselamatan petugas barisan hadapan terutama dalam menangani keperluan bekalan PPE di hospital-hospital,” kata Mohammed Azman.

Tambahnya, Perkeso berharap sumbangan ini dapat membantu mengurangkan risiko yang dihadapi oleh petugas-petugas kesihatan yang sentiasa bertungkus-lumus berkhidmat sepanjang tempoh yang mencabar ini.

Katanya, adalah diharap inisiatif ini juga menyumbang kepada usaha kerajaan Pusat dan negeri serta hospital-hospital di Sabah dalam memerangi wabak Covid-19.