Perkeso – Majikan Gagal Daftar Pekerja Dikompaun RM13,500

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Sejumlah RM13,500 kompaun dikenakan ke atas 23 majikan yang gagal mematuhi peraturan-peraturan ditetapkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dalam Op Kesan Bersepadu yang dilaksanakan semalam.

Pengarah Perkeso Sabah, Dr Mohd. Ali Hindia berkata, 23 kompaun itu dikeluarkan setelah pemeriksaan dibuat ke atas 124 majikan sekitar pusat bandar raya ini.

“Daripada 23 kompaun itu, 18 kes melibatkan kesalahan kegagalan majikan mendaftarkan pekerja. Ia termasuk 11 kes di bawah Seksyen 5 Akta Keselamatan Sosial Pekerja (AKSP) 1969 (Akta 4) dan tujuh kes mengikut Seksyen 16 AKSP 1969 (Akta 16).

“Manakala lima kes melibatkan kegagalan mendaftar perusahaan iaitu empat kes di bawah Seksyen 4 AKSP 1969 (Akta 4) dan satu kes di bawah Seksyen 16 AKSP 1969 (Akta 800),” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambahnya, seramai 98 majikan didapati patuh dan tiga majikan tidak layak berdaftar.

Menurutnya, operasi bersepadu yang dilaksana dengan kerjasama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) itu dilakukan secara serentak di seluruh negara semalam.

“Dalam operasi sama tahun lalu, sebanyak 78 kes direkodkan melibatkan pelbagai kesalahan di bawah AKSP 1969.

“Antara kesalahan yang direkodkan melibatkan kelewatan mendaftar perusahaan iaitu melebihi tempoh 30 hari,” katanya.

Menurutnya, operasi sebegitu lebih kepada memberi pendidikan kepada majikan dan pekerja untuk memastikan tanggungjawab bersama dalam mendaftar di bawah Skim Keselamatan Sosial.

Mohd Ali berkata, kompaun merupakan pilihan terakhir sekiranya majikan tidak mencarum untuk pekerja dan ada bukti bahawa mereka layak mencarum dan berdaftar.