Perkasa Mahu Persekutuan Cepatkan Laksana MA63

342
Ibrahim mengadakan sidang akhbar mendesak supaya Kerajaan Persekutuan percepatkan pelaksanaan hak Sabah dalam MA63.

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
TUARAN: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mendesak usaha mengembalikan hak Sabah mengikut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dipercepatkan demi kepentingan bumiputera di negeri ini.

Presidennya Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, MA63 penting kerana itu adalah hak rakyat Sabah dan kekayaan yang ada di bumi Sabah perlu diagihkan kepada setiap rakyatnya.

Ibrahim berkata, beliau tidak mahu melihat apa yang berlaku di Semenanjung iaitu Perkara 153 Perlembagaan berkaitan hak-hak istimewa orang Melayu yang diperlekehkan oleh pihak tertentu turut berlaku di negeri ini.

“Cuma dalam konteks Sabah Perkasa Sabah mesti terus berjuang, sebab saya ingat dari dulu lagi bukan saja MA63 penting, tapi lebih penting ialah kehidupan kaum bumiputera di Sabah.

“Kalau MA63 dapat di realisasikan sepenuhnya, alhamdulillah, kita sokong. Tapi tengok di Semenanjung ada Perlembagaan Perkara 153 mereka tidak laksanakan, mereka persendakan, mereka terjah, ada mereka cuba usaha nak pinda,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Khas Perkasa Sabah Gabungan Zon 1 di Tuaran hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua Perkasa Sabah, Datuk Rekan Hussin; Ketua Wira Perkasa Pusat, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif serta pimpinan Perkasa Sabah.

Ibrahim berkata, Perkasa Sabah perlu memainkan peranan sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berasaskan bumiputera untuk terus membela kaum itu di Sabah demi mendapatkan hak mereka.

Katanya, pertubuhan itu mesti fokus dalam memperjuangkan hak pendidikan percuma dan pemilikan tanah bumiputera kerana negeri ini mempunyai kekayaan sumber asli.

“Rakyat Sabah tidak ramai, bumi kaya hasil semula jadi, ada minyak, kayu-kayan bahan galian kenapa tidak mungkinkah mahu bagi pendidikan percuma kepada kaum bumiputera di Sabah, tingkatan satu sampai universiti tanpa mengira gred.

“Ini hak rakyat Sabah, kerana sabah negeri yang kaya. Kedua, bumi Sabah ini besar, jangan terjadi di Semenanjung banyak tanah rizab orang Melayu diambil dan bagi kepada pihak-pihak tertentu, akhirnya mereka bina rumah-rumah bernilai tinggi yang orang tidak mampu beli.

“Di sabah tanah adat pun sudah banyak hilang, jadi apakah mungkin bumiputera Sabah diberi tanah satu lot tidak kira mana-mana untuk buat rumah, buat kediaman masing-masing,” katanya.