Perkampungan Di Kawasan Hutan Simpan Akan Dikeluarkan – Shafie

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KENINGAU: Kerajaan pimpinan Warisan memberi jaminan untuk memastikan perkampungan yang berada di kawasan hutan simpan akan dikeluarkan demi manfaat penduduk kampung.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, ada antara perkampungan itu sudah wujud berpuluh tahun, kemudian kawasan tersebut diwartakan sebagai hutan simpan.

Itu dasar yang dilakukan kerajaan terdahulu dimana, kawasan perkampungan yang berada dalam hutan simpan tidak dikeluarkan.

Namun, di bawah kepimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan), perkampungan yang sudah lama diwujudkan dan berada dalam hutan simpan telah dikeluarkan dan diwartakan sebagai kampung.

“Kita bukan hanya wartakan kampung tapi kita serahkan geran dan lot tanah kepada penduduk kampung.

“Jika dilihat, saya sudah menyerahkan geran tanah lebih 10, 000 ekar untuk diagihkan. Malah, saya sudah mewartakan beberapa perkampungan yang dikeluarkan daripada hutan simpan.

“Kita mahu bila orang kampung perlukan tanah untuk membina rumah dan berucuk tanam, kita berikan kerana mereka berhak mendapat tanah,” katanya kepada media selepas Sesi Townhall bersama ketua-ketua adat dan Mahkamah Anak Negeri (MAN), peringkat Pedalaman Sabah, di Dewan Masyarakat Keningau, hari ini.

Presiden Warisan ini berkata, disamping memastikan kawasan kampung dikeluarkan, kerajaan juga mengambil kira usaha pemuliharaan hidupan liar di negeri ini.

Jika dilihat sejak mengambil tampuk pemerintahan, kerajaan Warisan telah menghentikan aktiviti pembalakan demi memastikan kawasan hutan menjadi tempat hidupan liar untuk terus hidup dan membiak.

Mohd Shafie berkata, beliau tidka mahu disebabkan dasar kerajaan yang mahukan hasil yang banyak, hidupan liar akan terjejas.

“Kita sebagai pemimpin bukan hanya memimpin umat tetapi, memimpin segala makluk yang ada,” ujarnya.

Tambahnya, di sesetengah negara mereka menyediakan kawasan seluas 20,000 ekar untuk menempatkan hidupan liar dan Sabah juga perlu ada langkah seumpama ini.