Perkahwinan Bawah Umur, Pilihan Di tangan Siapa?

Oleh SURAIDAH ROSLAN
PENAMPANG: Seawal usia 12 tahun sudah berkahwin. Mungkin kedengaran seperti gurauan, tapi itulah situasi yang masih berlaku dalam kalangan Orang Asal Sabah.

Biarpun sudah masuk tahun 2020, situasi itu masih berlaku, masyarakat sekeliling seolah-olah membenarkan keadaan itu terus berlaku.

Faktor kemiskinan, tiada pendidikan seks, tiada kesedaran serta tiada peruntukan undang-undang antara perkara yang perlu diberi perhatian bagi menangani isu perkahwinan bawah umur dalam kalangan masyarakat.

Bagaimana masyarakat membenarkan kanak-kanak semuda itu menjadi seorang ibu sedangkan diri sendiri masih lagi kanak-kanak.

Ini antara perkara yang sering dibangkitkan dalam usaha menangani isu perkahwinan bawah umur dalam kalangan Orang Asal.

Mantan Pembantu Menteri Undang-Undang & Hal Ehwal Anak Negeri, Jannie Lasimbang berkata, pilihan harus diberikan kepada anak yang mengandung luar nikah. Perkahwinan bukan satu-satunya langkah penyelesaian.

Kebiasaan dalam kalangan Orang Asal ini perlu dihentikan kerana ini mengundang kepada masalah kesihatan mental anak yang dipaksa kahwin awal hanya disebabkan kesilapannya mengandung anak luar nikah.

“Sebenarnya banyak pilihan yang ada. Dalam kalangan Orang Asal, jika seseorang itu hamil dan bayar sogit (denda adat), orang tidak lagi mencaci dan mempersoalkan kenapa dia tidak kahwin.

“Sebenarnya anak yang dikandung itu boleh diberikan sebagai anak angkat atau boleh dijaga dengan menjadi ibu tunggal. Pilihan ini boleh diterima oleh masyarakat Orang Asal.

“Mungkin ada yang takut tidak boleh simpan nama bapa. Seandainya tidak berkahwin sekalipun, mereka masih boleh meletakkan nama bapa, jika mahu dan itu dibenarkan. Tidak perlu meletakkan nama ibu seperti yang sering dilakukan sekarang,” katanya dalam sidang media selepas perbincangan menerusi webinar berkaitan isu perkahwinan bawah umur dalam kalangan Orang Asal sempena Hari Orang Asal Sedunia, di sini semalam.

Jannie, yang juga penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan ini berkata, dalam kes berlainan, faktor kemiskinan sering mendorong ibu bapa mengahwinkan anak pada usia remaja.

Dalam berdepan isu kemiskinan, ada ibu bapa yang mempunyai 10 anak sanggup kahwinkan anak lebih awal kerana tiada kemampuan untuk menjaganya.

“Mungkin mereka ingat ini akan menyelesaikan masalah, sebenarnya tidak. Anak itu akan terus berada dalam kemiskinan kerana mengikut kajian kami, 98 peratus daripada mereka berpendapatan di bawah RM1,000. Jadi, kahwinkan anak pada usia muda tidak akan selesaikan masalah kemiskinan,” ujarnya.

Menurutnya, jangan disebabkan satu kesilapan, anak muda terus menjalani kehidupan yang dia sendiri tidak mahu. Beri peluang kedua kepadanya teruskan kehidupan dan kembali menyumbang sesuatu kepada keluarga.

Atas sebab itu, Pacos Trust dengan dana tajaan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) telah menjalankan kajian di lima daerah di Sabah bagi memahami isu perkahwinan bawah umur dalam kalangan Orang Asal.

Kajian itu telah dilakukan ke atas 155 orang wanita berkahwin di daerah Paitan, Pitas, Kota Marudu, Tenom dan Nabawan selama lima bulan bermula pada November 2019.

Malah, di pihak kementerian juga telah menyediakan Pelan Tindakan Perkahwinan Bawah Umur bagi tempoh 10 tahun. Namun, ia tidak sempat untuk dibawa untuk kelulusan kerana baharu sahaja disiapkan pada hujung tahun lalu.

Dengan wujudnya pelan tindakan itu, tiga jawatankuasa khas akan diwujudkan bagi mengkaji keperluan penggubalan undang-undang, dasar pendidikan seks dan pindaan enakmen dalam menangani isu perkahwinan bawah umur.

Untuk masyarakat Islam, usia minimum perkahwinan telah ditetapkan pada umur 18 tahun menerusi pindaan undang-undang yang dilakukan pada November 2019.

Jannie berkata, ramai orang asal terjerumus kahwin bawah umur disebabkan tiada undang-undang yang menghalang mereka berbuat begitu.

Malah, ketua adat juga perlu memainkan peranan. Mereka tidak boleh terus membenarkan perkahwinan bawah umur tanpa mempersoalkan kesediaan anak muda tersebut.

“Tanya betu-betul adakah anak itu sedia untuk berkahwin. Biasanya atas tekanan ibu bapa yang mendorong anak itu berkahwin kerana ingin menutup malu.

“Sogit boleh dikenakan tapi tidak semestinya anak muda itu perlu dipaksa kahwin jika dia sendiri tidak rela dan bersedia untuk memikul tanggungjawab jadi seorang isteri,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Pacos Trust, Anne Lasimbang berkata, berdasarkan kajian yang dibuat ada yang menyatakan mereka kahwin atas dasar suka sama suka dan ada juga yang dipaksa kahwin kerana mengandung anak luar nikah.

“Biarpun ada ibu bapa yang sedar bahawa anak mereka belum bersedia menjadi ibu tapi anak itu tetap dikahwinkan. Jika dilihat seawal usia 13 tahun, anak sudah tinggalkan keluarga sendiri kerana terpaksa berkahwin akibat mengandung. Anak ini pastinya berdepan dengan tekanan mental kerana belum bersedia menjadi ibu.

“Situasi ini berlaku kerana tiada kesedaran tentang pendidikan seks serta kurang kemahiran keibubapaan.

“Memang komuniti Orang Asal mahu maju ke hadapan namun, kebiasaan menghalang mereka berbuat begitu,” jelasnya.