Perjanjian Pelaburan USD2.3 Bilion Di SOGIP Dimeterai

Madius (tengah) menyaksikan perjanjian HoA antara Dr Geaneve mewakili Sabah Oil & Gas Development Corporation (depan kanan) dan Mohd Sham mewakili Petroventure Energy (depan kiri).

JENNIFER TUGUNG MICHAEL
KOTA KINABALU : Sabah Oil  & Gas Development Corporation (SOGDC) hari ini memeterai Perjanjian Induk (HoA) dengan Petroventure Energy bagi cadangan loji minyak petroleum dan penapisan minyak di Taman Industri Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) untuk merangsang pertumbuhan ekonomi di negeri ini.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif SOGDC, Dr Geaneve Jane Samil manakala Petroventure Energy diwakili Presidennya, Mohd. Sham Mohd. Yassin.

Perjanjian itu disaksikan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Madius Tangau dan Pembantu Menteri, Kementerian Perdagangan dan Perindustrian Ben Chong.

Bercakap semasa majlis pemeteraian perjanjian itu, Madius berkata, perjanjian tersebut juga melibatkan pelabur asing  dari China dengan pelaburan sebanyak USD2.3 bilion.

“Ini adalah satu pelabur yang bagus dan saya difahamkan kos pelaburan adalah sebanyak USD2.3 bilion.

“Saya berharap satu Memorandum Persefahaman (MoA) akan termerai dalam jangka masa tiga bulan dari sekarang, “katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SOGDC, Dr Geaneve berkata, HoA yang membabitkan USD2.3 bilion itu juga bakal mewujudkan sebanyak 4000 peluang pekerjaan khususnya golongan usahawan.