Perintah Kawalan Pergerakan Dilanjut Hingga 14 April

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KUALA LUMPUR: Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia dilanjutkan sehingga 14 April susulan kes-kes positif baharu Covid-19 yang dicatatkan masih tinggi.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan perkara itu dalam Perutusan Khas, di sini hari ini.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira peningkatan kes-kes baharu di negara ini.

Katanya, dalam tempoh 7 hari sepanjang PKP berkuatkuasa, kes Covid-19 bertambah daripada 673 kes kepada 1,796 sehingga tengahari tadi.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) turut memaklumkan trend kes-kes positif baharu Covid-19 masih berlaku dan trend ini dijangka akan berterusan untuk beberapa ketika sebelum kes-kes baharu mula menurun.

”Keadaan ini menuntut kerajaan untuk meneruskan PKP bagi satu tempoh masa yang lebih lama.

“Sehubungan itu, kerajaan memutuskan tempoh PKP dilanjutkan sehingga 14 April,” ujarnya.

Muhyiddin berkata, tempoh PKP akan dikaji dari masa ke semasa dan akan dilanjutkan sekiranya ada keperluan berbuat demikian pada masa hadapan.

Tambahnya, jumlah kematian akibat Covid-19 juga meningkat kepada 17 orang termasuk seorang doktor perubatan.

Sehingga kini, kes-kes baharu terus dicatatkan dan KKM melakukan persiapan dengan menyediakan 3,585 katil di 34 buah hospital seluruh negara bagi menempatkan pesakit Covid-19.

Setakat ini, 34 peratus daripada kapasiti katil hospital ini telah digunakan dan masih berbaki 66 peratus lagi pesakit boleh ditempatkan.

Sebelum ini, tempoh PKP di Malaysia adalah dari 18 sehingga 31 Mac.