Perintah Berkurung Dilanjut Bermula Rabu Ini – Omar Mammah

510
Omar Mammah

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Perintah berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) dilanjutkan selama 14 hari bermula Rabu ini sehingga 27 Mac depan.

Perintah berkurung yang dikeluarkan sebelum ini tamat pada Selasa (12 Mac).

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata, dengan pelanjutan itu, mereka yang tinggal di kawasan berkenaan diminta berada di dalam rumah dan tidak dibenarkan memasuki kawasan perairan antara 6 petang hingga 6 pagi sepanjang tempoh tersebut.

Perintah yang meliputi perairan daerah Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran itu dilanjutkan bagi memastikan kawasan perairan berkenaan tidak diceroboh pengganas yang mengancam keselamatan penyelidik antarabangsa yang menjalankan penyelidikan serta pelancong asing yang melawat pulau-pulau peranginan di sekitar Esszone.

Beliau berkata perintah berkurung itu juga bertujuan untuk menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan dalam kawasan daratan Esszone.

Omar berkata berdasarkan maklumat, kumpulan militan Abu Sayyaf dan mereka yang menjalankan kegiatan menculik untuk mendapatkan wang tebusan dari selatan Filipina masih cuba menceroboh untuk melakukan penculikan dan jenayah rentas sempadan.

Katanya, perintah berkurung itu dilaksanakan bagi memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot serta menimbulkan rasa selamat dan yakin kepada pengusaha chalet dan nelayan dengan kehadiran kapal anggota keselamatan di sekitar kawasan berkenaan.

“Saya juga memberi kuasa kepada semua ketua polis daerah Esszone untuk mengeluarkan permit kepada pemohon yang layak bagi tujuan aktiviti perikanan atau kepada mereka yang mempunyai keperluan mendesak untuk melalui kawasan perintah berkurung,” ujarnya.