Perintah Berkurung Di Perairan ESSZONE Dilanjutkan Sehingga 9 Jun

KOTA KINABALU: Perintah berkurung membabitkan kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) yang berakhir hari ini, dilanjutkan 14 hari lagi sehingga 9 Jun depan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, perintah berkurung itu meliputi perairan Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

“Perintah berkurung ini dilanjutkan untuk memastikan kawasan perairan tidak diceroboh pengganas yang mengancam keselamatan penyelidik antarabangsa yang menjalankan penyelidikan dan pelancong asing yang melawat pulau peranginan.

“Maklumat mendedahkan kumpulan yang menjalankan kegiatan Kidnapping For Ransom (KFR) dan kumpulan Abu Sayaf masih cuba menceroboh ke kawasan perairan negeri ini untuk melakukan penculikan dan jenayah rentas sempadan yang lain.

“Oleh itu, orang awam yang tinggal di kawasan terbabit dilarang menghampiri atau berada di kawasan yang diisytihar antara jam 6 petang hingga 6 pagi,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Idris berkata, perintah berkurung itu juga bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan dan rakyat berada di kawasan daratan ESSZONE.

Katanya, ia juga akan memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot serta menimbulkan rasa selamat serta yakin kepada pengusaha chalet dan nelayan dengan kehadiran pasukan keselamatan.

“Saya juga memberi kuasa kepada semua Ketua Polis Daerah di ESSZONE bagi mengeluarkan permit kepada pemohon yang layak bagi tujuan aktiviti perikanan atau ada keperluan mendesak untuk melalui kawasan perintah berkurung itu,” katanya.