Perintah Berkurung Di Esszone Dilanjut Hingga 25 Julai

133

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Perintah berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) yang berakhir pada 6 petang hari ini (Rabu) akan dilanjut sehingga 25 Julai.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata, perintah berkurung yang berkuatkuasa dari 6 petang hingga 6 pagi itu meliputi kawasan perairan Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan,Sandakan dan Beluran.

Beliau mengingatkan orang ramai yang tinggal di kawasan berkenaan supaya berada dalam rumah dan tidak dibenarkan memasuki kawasan perairan yang diisytiharkan itu antara 6 petang hingga 6 pagi sepanjang tempoh berkurung berkuatkuasa.

“Perintah berkurung ini diteruskan bagi memastikan kawasan perairan berkenaan tidak dicerobohi oleh pengganas yang mengancam keselamatan penyelidik antarabangsa yang menjalankan penyelidikan serta pelancong asing yang melawat pulau peranginan di kawasan terlibat.

“Maklumat mendedahkan kumpulan yang menjalankan kegiatan Kidnapping For Ransom (KFR) dan kumpulan Abu Sayyaf masih cuba menceroboh masuk ke kawasan ini untuk melakukan penculikan dan lain-lain jenayah rentas sempadan,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Omar berkata, penguatkuasaan perintah berkurung juga dapat menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan dan mereka yang berada di kawasan daratan Esszone.

Menurutnya, ia turut memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot serta menimbulkan rasa selamat serta yakin kepada pengusaha chalet dan nelayan dengan kehadiran pasukan keselamatan.

“Malah, saya juga memberi kuasa kepada semua Ketua Polis Daerah di Esszone untuk mengeluarkan permit kepada pemohon yang layak bagi tujuan aktiviti perikanan atau jika ada keperluan mendesak untuk melalui kawasan perintah berkurung itu,” ujarnya.