Perikatan Nasional Tidak Berdaftar, Calon Tidak Layak Tanding

Oleh PEMBERITA BORNEOTODAY

KOTA KINABALU: Bagaimana Parti Perikatan Nasional (PN) yang tidak mempunyai rekod pendaftaran sebagai parti boleh bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16?.

Itu antara persoalan yang dibangkitkan Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia, Syed Badli Shah Syed Osman.

SYED BADLI SHAH

Persoalan itu timbul susulan semakan yang dilakukan dalam laman sesawang pendaftar pertubuhan (ROS) berkaitan status pendaftaran Parti Perikatan Nasional (PN) dan mendapati tiada rekod ditemui.

Beliau berkata, setakat jam 2.22 pagi, 14 September, tiada rekod berkaitan PN berjaya dipaparkan.

“Semakan seterusnya ke atas nama “Perikatan Nasional” atau “Prikatan Nasional” turut tidak menemui sebarang rekod daftar.

“Melalui makluman media, kononnya permohonan untuk pendaftaran Parti Perikatan Nasional telah dihantar sebelum atau pada 20 Ogos.

“Justeru, saya menggesa Pendaftar Pertubuhan untuk memberikan pencerahan apakah status pendaftaran Parti Perikatan Nasional (PN),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jika benar Parti Perikatan Nasional masih gagal didaftarkan bermakna semua calon-calon yang masuk bertanding pada PRN Sabah kali ini atas lambang Perikatan Nasional haruslah dibatalkan.

Sehubungan itu, beliau menggesa pendaftar pertubuhan untuk mendedahkan status pendaftaran Parti Perikatan Nasional.

Rujukan laman sesawang : https://www.ros.gov.my/index.php?id=2&page_id=19