Perhimpunan Libatkan Orang Ramai Di Sabah Perlu Ditangguhkan

SAFAR UNTONG

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menyarankan agar semua perhimpunan yang melibatkan orang ramai yang melebihi 50 orang peserta ditangguhkan bagi mencegah kemungkinan jangkitan Covid-19.

Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) Datuk Safar Untong mengeluarkan saranan sedemikian dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beliau juga meminta peserta yang menghadiri Perhimpunan Ijtimak Tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur pada 28 Februari hingga 1 Mac lalu supaya menghubungi atau datang ke klinik kesihatan yang berdekatan bagi menjalani pemeriksaan kesihatan.

Selain itu, pegawai sektor awam dan sektor swasta atau mana-mana pertubuhan bukan Kerajaan yang mempunyai mesyuarat di luar Sabah digalakkan untuk menggunakan video conferencing atau saluran komunikasi digital lain.

“Semua penjawat awam di Sabah, Syarikat Berkaitan Kerajaan dan orang awam diingatkan untuk mematuhi sepenuhnya Standard Operating Prosedur (SOP) pengawalan penularan jangkitan Covid 19 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Orang ramai juga dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah penjagaan kebersihan diri; mengamalkan kuarantin kendiri; mengelak berada di tempat awam jika mempunyai gejala seperti demam, batuk dan kesukaran bernafas; dan menjarakkan diri sekurang-kurangnya dua meter daripada orang lain,” katanya.

Safar juga menyarankan orang ramai yang mengalami gejala demam, batuk dan sukar bernafas supaya menghubungi atau datang ke klinik kesihatan yang berdekatan dengan segera.

Bagi mereka yang ingin ke luar negara tanpa sebarang urusan mendesak, beliau menasihatkan agar perjalanan itu ditangguhkan terlebih dahulu.

“Orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak mengunjungi negara-negara termasuk negeri lain di Malaysia yang sedang mengalami wabak jangkitan Covid 19.

“Disamping itu, orang ramai perlu mengelakkan diri daripada berjabat tangan bagi mengelakkan jangkitan Covid 19,” ujarnya.