Perdana Menteri Lancar Projek Mega Lok Kawi Resort City

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Pembangunan Lok Kawi Resort City yang bernilai RM 7 bilion dilihat satu lagi mercu tanda yang membuktikan Sabah mempunyai potensi besar dalam pembangunan sektor pelancongan.

Projek yang dikendalikan Syarikat Tegas Bangsa Sdn Bhd ini dijangka akan menarik sejumlah besar pelaburan bagi projek pembangunan di Sabah.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, projek Lok Kawi Resort City ini pastinya akan membuka ruang yang luas untuk kemasukan pelabur, pembeli hartanah dan pelancong dari dalam dan luar negara.

Beliau berkata, difahamkan projek itu meliputi pejabat, perumahan, hotel, pusat membeli belah dan taman tema yang dijangka disiapkan dalam tempoh 15 tahun. Projek ini bakal memberi pulangan jangka masa panjang kepada negeri Sabah.

“Kita sedar bahawa buat masa ini kekangan pandemik Covid-19 mengehadkan kemasukan pelancong luar, namun saya yakin dengan pelaksanaan vaksinasi secara menyeluruh menjelang akhir tahun ini, negeri Sabah yang kaya dengan tarikan pelancongan akan kembali aktif menerima pelancong-pelancong dari luar negara sekali gus merancakkan kembali ekonomi negeri.

“Bagi pihak kerajaan persekutuan juga, saya akan sentiasa memberikan sokongan dan perhatian terhadap pelan pembangunan seperti ini.

“Sudah tiba masanya kerajaan negeri Sabah mengambil langkah berani mengorak langkah untuk menjalinkan lebih banyak kerjasama bersama pelabur luar dalam melaksanakan projek-projek pembangunan secara Private Finance Initiative (PFI) dengan lebih meluas,” katanya semasa melancarkan Lok Kawi Resort City, di sini hari ini.

Dalam majlis tersebut Muhyiddin turut menyaksikan acara menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dan SK Nexilis, iaitu syarikat Korea Selatan yang akan membina kilang kerajang tembaga bagi pengeluar bateri kenderaan elektrik (EV).