Perdana Menteri: Kerajaan Kaji Keperluan Infrastruktur Kalabakan

523
MA’MUN SULAIMAN

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan keprihatinan beliau terhadap kawasan Parlimen Kalabakan yang masih kekurangan infrastruktur asas untuk menarik kedatangan pelabur walaupun berada di lokasi strategik bersebelahan Indonesia.

Perdana Menteri berkata, kerajaan akan mengkaji keperluan pembinaan infrastruktur asas yang berkaitan di situ kerana kedudukannya yang bersempadanan dengan Indonesia mampu menarik pelabur dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.

“Pelaburan bermakna pelabur memerlukan pekerja untuk laksanakan segala tugas dan tanggungjawab di dalam industri. Kita boleh dorongkan mereka melabur di Kalabakan tetapi kalau mereka dapati kawasan situ belum sesuai sudah tentu mereka akan pilih tempat lain.

TUN MAHATHIR

“Kalau Kalabakan tidak mempunyai infrastruktur yang sesuai, maka kerajaan akan kaji sama ada kita boleh membina infrastruktur yang sesuai di Kalabakan untuk menarik pelabur dan mengurangkan kadar pengangguran di tempat berkenaan,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian dalam jawapannya kepada soalan tambahan Ahli Parlimen Kalabakan, Ma’mun Sulaiman dalam sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Ma’mun bertanya kepada Perdana Menteri adakah beliau bersetuju aktiviti ekonomi akan dirancakkan dengan kehadiran pelabur, namun kawasan yang berpotensi seperti Kalabakan tidak mendapat tumpuan pelabur kerana masalah prasarana dan infrastruktur asas yang tidak lengkap.

Sementara itu, dalam soalan awal dikemukakan, Ma’mun meminta penjelasan Dr Mahathir apakah langkah-langkah yang diambil kerajaan untuk mengurangkan kadar pengguran belia di negara ini yang mencecah 10.9 peratus berbanding kadar pekerjaan hanya 3.4 peratus.

Dr Mahathir berkata, terdapat enam langkah utama diambil kerajaan yang dilaksanakan berterusan dari masa ke semasa untuk memastikan golongan belia daripada lepasan sekolah dan graduan dapat memenuhi permintaan pasaran.

“Langkah pertama ialah menyediakan portal pekerjaan yang bersesuaian dan mengadakan karnival kerjaya, langkah kedua ialah menggabungkan agensi seperti Jobs Malaysia, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Pembangunan Sumber Manusia Berhad dan Teraju untuk menyediakan khidmat nasihat profesional kepada pencari pekerjaan.

“Langkah ketiga ialah memberikan graduan latihan berimpak tinggi bersesuaian dengan keperluan industri dan langkah keempat ialah memperkemas program perantisan industri agar dapat meningkatkan kemahiran belia seiring dengan keperluan pasaran,” kata Dr Mahathir.

Kata beliau, langkah kelima ialah menjalin kerjasama antara Kementerian Pendidikan dan agensi bagi memberi pendedahan awal kepada dunia pekerjaan manakala langkah keenam ialah sistem pendidikan 70 peratus praktikal dan 30 peratus teori.

“Sebanyak 76,000 belia dalam kalangan pelajar universiti dan pelatih Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) telah menerima manfaat program-program dijalankan kerajaan manakala bermula Januari hingga Mac 2019, sebanyak 3,890 pencari kerja telah mendapat pekerjaan,” katanya.