Perdana Menteri Jamin Hak Sabah Dan Sarawak Akan Terus Dipelihara

Najib Razak memberi jaminan hak Sabah dan Sarawak akan terus dipelihara dalam Persekutuan Malaysia.

KOTA KINABALU: Najib Razak malam Sabtu memberi jaminan hak Sabah dan Sarawak akan terus dipelihara dalam Persekutuan Malaysia selain memastikan rakyat kedua-dua negeri itu akan terus mendapat pembelaan sewajarnya.

Perdana Menteri itu berkata sebuah jawatankuasa khas untuk mengkaji hak orang Sabah dan Sarawak juga telah ditubuhkan bagi memastikan hak serta kepentingan kedua-dua negeri itu dipenuhi berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963.

Dalam ucapan beliau merasmikan sambutan Hari Malaysia 2017 peringkat kebangsaan di Kompleks Sukan Kota Kinabalu di Likas, Sabtu malam, Najib berkata oleh sebab itu tak payahlah kita membuat slogan ‘Sabah for Sabah’, ‘Sarawak for Sarawak’.

“Kita hendak ‘Sabah and Sarawak for Malaysia’ dan ‘Malaysia for Sabah and Sarawak. Dengan ini, kita (Malaysia) akan maju.

“Kita akan berunding dalam satu keluarga. Keputusan (jawatankuasa khas) akan dibuat dalam masa tidak lama lagi bagi mengagihkan hak rakyat Sabah dan Sarawak.”

Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Haji Mohamad Asfia Awang Nassar menandatangani Buku Hari Malaysia mewakil Ketua Menteri Sarawak.

Najib berkata kerajaan Persekutuan tetap menghormati dan menghargai keputusan Sabah yang bersetuju untuk bersama-sama Sarawak dan Semenanjung bergabung membentuk Malaysia.

Mengulas lanjut, katanya, kerajaan Persekutuan juga sentiasa berusaha mengurangkan sekali gus menghapuskan jurang pembangunan antara Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung bagi memastikan pembangunan di kedua-dua negeri itu seimbang dengan negeri-negeri lain.

Beliau juga berkata kerajaan Persekutuan akan memberi perhatian khusus dalam menyediakan peruntukan diperlukan untuk membina lebih banyak kemudahan asas luar bandar di Sabah dan Sarawak memandangkan kawasan luar bandar di negeri terbabit masih memerlukan peruntukan tambahan.

Najib turut memaklumkan kerajaan juga telah memberi peruntukan khas dalam sektor bekalan elektrik kepada rakyat Sabah dan Labuan menerusi bantuan kewangan RM4.414 bilion dari tahun 2012 hingga 2016 dan geran projek khas bekalan elektrik khusus untuk dua wilayah itu sebanyak RM2.295 bilion.

“Dan, apa yang kurang diketahui oleh rakyat bahawa ada elemen subsidi tersembunyi yang diluluskan kerajaan melalui Petronas apabila bekalan elektrik di Sabah harga gasnya hanya RM6.4 sejuta British Thermal Unit (mmbtu) berbanding RM22.7 mmbtu harga di Semenanjung.

Musa Aman manandatangani buku Hari Malaysia.

“Tahun ini sahaja, Petronas memberi subsidi sebanyak RM390 juta untuk mengurangkan kadar tarif elektrik di Sabah. Inilah antara yang kita bantu Sabah dan kita nak jamin bahawa Sabah dan rakyatnya akan terus mendapat pembelaan sebaiknya,” katanya.

Dalam ucapannya, Najib juga berkata Sabah kini rancak membangun sejak berada di bawah kepimpinan Ketua Menteri Musa Aman.

Menurutnya, perubahan landskap negeri ini juga adalah hasil hubungan baik antara kerajaan negeri dengan kerajaan pusat.

“Insya-Allah, kita akan (kerajaan pusat) teruskan lagi kerjasama untuk memantapkan lagi pembangunan di Sabah.

“Kita (kerajaan pusat) berterima kasih kepada kerajaan Sabah di bawah pimpinan Tan Sri (Musa),” katanya pada sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan di sini malam ini.

Berkenaan dengan keselamatan di Sabah, Najib berkata kerajaan akan memastikan kedaulatan Sabah akan terus dipertahankan, khususnya daripada ancaman luar.

Turut hadir Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, Timbalan Perdana Menteri, Dr Ahmad Zahid Hamidi, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Mohamad Asfia Awang Nassar, yang mewakili kerajaan Sarawak, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dr Salleh Said Keruak serta barisan kepimpinan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak.