Percepatkan Projek Mitigasi Banjir Di Kota Belud – Shafie

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA BELUD: Tidak perlu lagi buat kajian, laksana projek tebatan banjir ini secepatnya.

Demikian kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal bagi meminta mempercepatkan pelaksanaan projek di bawah kerajaan persekutuan tersebut bagi mengurangkan impak banjir yang sering berlaku di daerah berkenaan.

Beliau berkata, peruntukan RM50 juta telah disediakan oleh kerajaan Pusat pada dua tahun lalu. Tapi malangnya duit tersebut digunakan untuk kajian kebolehlaksanaan.

“Rasanya tidak perlu lagi buat kajian (kebolehlaksanaan) di Kota Belud. Kita sudah tahu daerah ini sering dilanda banjir dan puncanya juga kita tahu, antaranya disebabkan sungai yang cetek.

“Kita tahu ada sungai yang perlu kita dalamkan dan perluaskan. Malah, ada juga sungai yang terputus yang perlu kita korek supaya aliran air sungai dapat dikeluarkan.

“Itu antara langkah pelaksanaan tebatan banjir yang perlu kita jayakan dalam masa terdekat ini,” katanya ketika ditanya mengenai Projek Tebatan Banjir di Kota Belud.

Beliau berkata demikian kepada media selepas meninjau keadaan banjir dan melawat penduduk terjejas banjir, di sini hari ini.

Mohd Shafie berkata, beliau akan meminta Jabatan Pengairan dan Saliran supaya perdalamkan dan memperluaskan air sungai di daerah berkenaan.

Katanya, kerja-kerja mendalamkan sungai yang dilakukan sekarang juga dilihat agak lambat dan tidak cukup dalam bagi minimakan impak banjir.

Oleh itu, beliau minta proses memperdalam dan memperluaskan sungai itu dilakukan dengan cepat.

Dalam pada itu, beliau juga mahu kerja-kerja penyelenggaraan longkang dan parit yang dilaksana dengan lebih baik agar tidak berlaku parit tersumbat hingga menyebabkan banjir kilat mudah berlaku apabila hujan lebat.

Mohd Shafie turut melawat beberapa rumah penduduk kampung yang terjejas, disamping melawat mangsa banjir yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Masyarakat Tun Said.

Sehingga 6 petang tadi, 318 orang mangsa banjir dari 100 buah keluarga masih ditempatkan di PPS tersebut.

Sebanyak 32 kampung di daerah berkenaan terjejas akibat banjir yang berlaku sejak Sabtu.