Perbuatan Terkutuk Guru Agama Di Bingkor Terbongkar; Disiasat Polis

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KENINGAU: Perbuatan terkutuk dua bekas guru sekolah agama rakyat yang didakwa terlibat dalam kes rogol dan cabul akhirnya terbongkar apabila ada mangsa tampil membuat laporan.

RAMLI DIN

Perbuatan tidak bertanggungjawab itu terbongkar setelah seorang mangsa berusia 10 tahun bertindak menceritakan tentang perbuatan terkutuk dua bekas guru berusia 26 tahun itu kepada guru di sekolah yang terletak di Pekan Bingkor itu.

Satu laporan polis kemudian dibuat setelah keluarga mangsa dimaklumkan mengenai kejadian berkenan.

Mangsa mendakwa seorang suspek bertindak merogolnya manakala, seorang lagi meliwatnya di tempat berasingan sekitar kawasan sekolah itu pada tahun lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din mengesahkan pihak polis ada menerima laporan berkenaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Kedua-dua suspek yang telah diberhentikan kerja kini sedang dikesan bagi membantu siasatan.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.