Perbadanan Labuan Perkenal Anugerah Pelancongan Labuan 2020

LABUAN: Buat julung kalinya Perbadanan Labuan akan memperkenalkan anugerah pelancongan Labuan tahun ini sempena Tahun Melawat Malaysia (VM2020).

Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr Fary Akmal Osman berkata pengenalan anugerah itu bertujuan memberi penghormatan dan pengiktirafan kepada pemain-pemain industri pelancongan yang banyak membantu dalam menyokong pembangunan industri berkenaan di Labuan.

“Kami amat berbangga memperkenalkan anugerah ini, bagi mengiktiraf dan memberi penghormatan terhadap sumbangan oleh pemain-pemain industri kepada pulau Labuan. Sudah tiba masanya kita bekerjasama rapat untuk memajukan lagi sektor pelancongan di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri satu majlis khas bagi meraikan kehadiran 27 ketua kampung serta media untuk melawat Labuan, di sini malam tadi.

Edisi pertama anugerah itu akan menampilkan lima kategori yang terdiri daripada Anugerah Pelancongan Hotel Cemerlang Labuan, Anugerah Pelancongan Restoran Terbaik (makan malam) Labuan, Anugerah Pelancongan Sokongan Media Cemerlang (laporan), Anugerah Pelancongan Sokongan Kerajaan Cemerlang (acara) dan Ikon pelancongan (Individu [sokongan dan inovatif]) tahun ini.

“Pengumuman rasmi anugerah sulung ini akan dibuat oleh Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad tidak lama lagi,” katanya.