Perbadanan Labuan Kekalkan Kadar Cukai Taksiran Tahun Ini

390

LABUAN: Perbadanan Labuan (LC) tidak merancang menaikkan kadar cukai taksiran tahun ini dalam usaha untuk tidak menambahkan lagi beban rakyat yang berdepan peningkatan kos sara hidup sekarang.

Anggota Majlis Penasihat LC Simsudin Sidek berkata mereka sebaliknya akan menumpukan kutipan hasil daripada caj lain seperti permit menaikkan kain rentang, fi lesen, kutipan sewa, fi pembangunan, pengiklanan dan lain-lain.

Sehubungan itu katanya LC akan berbelanja secara berhemat pada tahun ini.

“Menaikkan kadar cukai taksiran hanya akan memburukkan lagi keadaan semasa rakyat,” katanya hari ini (Rabu, Januari 2, 2019).

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif LC Rithuan Ismail ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut, bagaimanapun katanya kadar baharu berdasarkan penilaian hartanah yang disemak semula akan dilaksanakan pada 2020.

Menurutnya kadar baharu itu sepatutnya dilaksanakan tahun lepas namun ditangguh atas permintaan dewan-dewan perniagaan di Labuan.

Rithuan juga berkata kali terakhir kadar cukai pintu disemak semula ialah pada 1994.

Sementara itu, pada jamuan malam Dewan Perniagaan Tionghoa Labuan bersempena tahun baharu malam tadi, Pengerusinya Datuk Wong Kii Yii yang menggesa agar kadar cukai taksiran semasa dikekalkan, turut meminta LC mengadakan perbincangan dengan dewan perniagaan sebelum menyemak semula kadar cukai pintu pada masa akan datang.

Pada masa sama Wong turut berharap kerajaan meneliti masalah yang dihadapi oleh peniaga dalam keadaan kelembapan ekonomi sekarang.

Beliau turut membangkitkan beberapa masalah yang dihadapi peniaga dalam berurusan dengan LC, khususnya mengenai permohonan lesen perniagaan yang adakala ditolak atas alasan tidak munasabah.