Perbadanan Labuan Jelaskan Cadangan Naikkan Cukai Taksiran

118

LABUAN: Pihak berkuasa tempatan, Perbadanan Labuan hari ini memberikan pencerahan berhubung cadangannya menaikkan cukai taksiran tahunan berkuatkuasa 1 Januari tahun depan.

Menurut laporan Bernama hari ini taklimat cadangan pelaksanaan senarai nilaian baharu itu melibatkan kesemua tujuh dewan-dewan perniagaan, ahli-ahli majlis penasihat Perbadanan Labuan dan wakil-wakil media.

Cadangan kenaikan cukai taksiran tahunan ini selepas mengambil kira nilai tahunan hartanah telah menerima reaksi negatif dalam kalangan komuniti peniaga yang ada pemilikan hartanah dan pemilik rumah di taman-taman perumahan.

Taklimat yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Ismail itu memberi peluang kepada wakil-wakil peniaga dan hartanah untuk mengutarakan pendapat dan rungutan.

Menurut Rithuan, cadangan kadar peratusan cukai taksiran tahunan belum diputuskan dan masih mengambil kira cadangan dan rungutan pihak yang berkepentingan.

Rithuan berkata, borang bantahan haruslah diisi oleh setiap pemilik hartanah bagi membolehkan Perbadanan Labuan meneliti semula cadangan berkenaan.

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Dr Fary Akmal Osman memberitahu Bernama kadar peratusan untuk cukai taksiran tahunan akan hanya diputuskan selepas melihat semula bantahan daripada semua pihak.

“Cadangan kenaikan cukai kadar tahunan ini adalah berikutan penggunaan-pakai kadaran sejak tahun 1994 yang tidak pernah dinaikkan,” katanya.

Fary berkata besar kemungkinan akan ada diskaun ditawarkan oleh Perbadanan Labuan daripada taksiran yang diputuskan dan ianya akan ditetapkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan.

Aktivis tempatan Fauziah Datuk Mohd Din berkata sebarang kenaikan cukai taksiran tahunan haruslah melihat semula kepada tahap perkhidmatan (kerja-kerja penyelenggaraan) yang diberikan kepada pembayar cukai dan keadaan ekonomi semasa.

“Cukai kadaran tahunan di bandar-bandar lain tidak harus disamakan di Labuan melihat kepada keadaan ekonomi Labuan, dengan kadar pengangguran masih tinggi dan aktiviti ekonomi masih dalam perlahan,” katanya.

Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli pula berkata cadangan cukai kadaran tahunan ini dibuat secara tergesa-gesa dan harus diberi masa yang cukup kepada pembayar cukai hartanah untuk memahami secukupnya.

“Sekiranya Labuan masih boleh ‘hidup’ dengan kadar lama sejak cukup lama, kenapa tidak bagi masa sedikit lama untuk pembayar cukai untuk fahami,” katanya.

Rozman berkata, sekiranya Perbadanan Labuan tidak mencukupi dana, tidak perlu memperolehinya melalui menaikkan cukai taksiran tahunan.

“Apa yang perlu Perbadanan Labuan harus memohon lebih peruntukan daripada kerajaan pusat dalam urus tadbir pulau bebas cukai sini,” katanya.

Rozman berkata cadangan kenaikan tidak harus dilaksanakan secara mengejut tetapi secara berperingkat.

“Saya telah memaklumkan kepada pelbagai pihak yang berjumpa dengan saya, dan saya memberitahu mereka, saya sendiri tidak mahukan cukai kadaran tahunan ini dilaksanakan sebelum ianya dikaji secara terperinci,” katanya sambil menambah turut memaklumkan kepada Dr Fary rungutan pelbagai pihak.