Perbadanan Labuan Adakan Sesi Pendengaran Semakan Lesen Niaga

LABUAN: Pihak berkuasa Perbadanan Labuan (LC) akan mengadakan sesi pendengaran dengan dewan-dewan perniagaan tempatan pada bulan ini sebelum pelaksanaan cadangan semakan semula lesen perniagaan mulai Januari 2021.

Ini berikutan bantahan daripada dewan-dewan terbabit seperti Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Labuan, Dewan Perniagaan Cina, Dewan Perniagaan dan Industri India serta Dewan Perniagaan dan Industri Kadazandusun membabitkan cadangan tersebut.

“Sesi pendengaran itu akan membolehkan mereka menyuarakan sebarang kebimbangan dan bertanyakan mengenai cadangan semakan semula itu,” kata pegawai pelesenan LC kepada Bernama.

Dewan-dewan perniagaan tersebut telah menyerahkan memorandum bantahan cadangan itu dan meminta penangguhannya, kepada Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa yang berkunjung ke Labuan, minggu lepas.

Menurut mereka, semakan terbabit tidak hanya membabitkan kenaikan fi sebaliknya pengurangan khususnya terhadap perusahaan kecil dan sederhana (PKS) seperti penurunan lesen perdagangan yang dikenakan ke atas vendor beroperasi dalam kiosk seperti di Kompleks Taman Kewangan kepada RM17 berbanding RM25 pada masa ini.

“Terdapat semakan kenaikan terutamanya yang beroperasi dalam premis lebih besar. Namun kita menetapkan fi maksimum wajar walaupun mereka beroperasi dalam premis besar,” katanya.

Pegawai terbabit berkata, fi lesen sedia ada juga tidak disemak semula sejak lebih sedekad lepas kerana LC menggunakan undang-undang kecil kerajaan Sabah sejak Labuan diangkat sebagai Wilayah Persekutuan pada 1986.

Sementara itu, Presiden Dewan Perniagaan Cina Datuk Wong Kii Yi berkata sebarang kenaikan fi lesen perniagaan akan hanya menjejaskan pertumbuhan dan perniagaan pada masa depan.

“Kemungkinan kenaikan fi, terutamanya terhadap penggiat, peruncit industri dan tempat makan dengan premis lebih besar itu, akan hanya menyukarkan mereka, termasuk dari segi kewangan dalam persekitaran pandemik COVID-19 ketika ini serta jumlah pelanggan yang terus berkurangan. Ini juga akan hanya memberi kesan kepada kami dari segi kompetitif,” katanya.

Malah, kata beliau, daripada bertindak menaikkan fi lesen perniagaan itu, LC sepatutnya menggalakkan lagi perniagaan untuk membayar cukai sewajarnya.

Dewan-dewan perniagaan tersebut turut membantah pelaksanaan fi lesen perniagaan baharu yang merangkumi Pelesenan Perdagangan, Perniagaan dan Industri (Wilayah Persekutuan Labuan), Undang-Undang Kecil 2016 dan Pelesenan Petempatan Makanan (Wilayah Persekutuan Labuan), Undang-Undang Kecil 2016 dan mendakwa sebarang kemungkinan kenaikan fi pelesenan akan hanya menjejaskan perniagaan.

Pada masa ini mana-mana individu yang berminat memulakan perniagaan perlu memiliki lesen perdagangan LC dengan fi tahunan minimum RM25 dan sehingga maksimum RM1,800 yang bergantung kepada saiz premis perniagaan.