Perancangan Dan Pelan Strategik Perlu Untuk Memperkasakan Golongan Nelayan Kecil

Gambar hiasan

KOTA KINABALU: Golongan nelayan kecil dan tradisi di Pantai Timur Sabah khususnya di sekitar Tungku, perlu diperkasakan bagi meningkatkan taraf hidup dan taraf sosio ekonomi mereka kerana masih terdapat golongan berkenaan yang dikategorikan B40.

Assafal P Alian (Warisan-Tungku) berkata pemerkasaan nelayan itu memerlukan satu pendekatan baharu yang segar bagi memastikan golongan terbabit benar-benar terbela.

“Bantuan elaun sara hidup dan subsidi diesel tidak akan mengeluarkan mereka dari kehidupan seperti biasa. Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah harus mempunyai perancangan dan pelan strategik agar kehidupan golongan nelayan menjadi lebih baik daripada sebelumnya.

Sehubungan itu Assafal mencadangkan setiap keluarga nelayan dilengkapkan dengan kemudahan bot dan sistem penangkapan ikan yang lebih baik.

Menjawab soalan itu, Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah, Datuk James Ratib berkata di bawah Kerajaan Perpaduan, beliau berharap lebih banyak peruntukan dapat disalurkan kepada kementeriannya melalui Jabatan Perikanan Sabah agar kehidupan nelayan akan menjadi lebih baik.

“Kerana dengan adanya peruntukan yang banyak, kita boleh membantu nelayan kecil, sebagai contoh bagi pembelian bot di bawah 200 kuasa kuda selain dapat memberikan bantuan bot gentian kaca.

“Malah di kawasan saya sendiri seperti di Pulau Jambongan, ramai nelayan perlu dibantu. Jadi, kita mengharapkan lebih banyak peruntukan dapat disalurkan oleh Kerajaan Perpaduan kepada kementerian saya untuk disalurkan kepada Jabatan Perikanan Sabah bagi pembelian lebih banyak bot gentian kaca bagi membantu nelayan kecil serta membantu pengusaha produk perikanan.

“Peruntukan besar daripada Kerajaan Persekutuan juga dapat membantu pembinaan jeti bot dan jeti bahan api iaitu diesel di pulau bagi kemudahan nelayan,” katanya.

Norazlinah Arif (Warisan- Kunak) kemudiannya bangun dan memberikan pandangannya bahawa selain peruntukan, kuasa untuk mengubah syarat lesen perikanan yang ketika ini di bawah Persekutuan, seharusnya diturunkan kepada negeri.

“Saya rasa kita bukan perlukan duit saja di Sabah ni tetapi kita memerlukan kuasa,” katanya.

Sebelum itu ketika menjawab soalan asal Assafal, James berkata bagi memperkasa golongan nelayan kecil dan tradisi, kementeriannya melalui Jabatan Perikanan Sabah telah mewujudkan program pelesenan alat perikanan di Sabah dan setakat Ogos lalu, sebanyak 5,824 lesen perikanan dikeluarkan Jabatan Perikanan Sabah di seluruh negeri.

“Bermula pada tahun 2023, menerusi program pelesenan alat perikanan tradisi, ukuran panjang bot yang dibenarkan untuk dilesenkan telah dinaikkan daripada 11 meter kepada 15 meter dengan
enjin tidak melebihi 200 kuasa kuda.

“Dengan adanya bot perikanan yang lebih besar, nelayan tradisi lebih berpeluang untuk memungut hasil yang lebih banyak,” kata James di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di Kota Kinabalu, semalam.

Menurut James, Jabatan Perikanan Sabah turut mengeluarkan Kad Pendaftaran Nelayan atau KPN dan sehingga November lalu, sebanyak 8,581 KPN telah dikeluarkan di seluruh Sabah.

“Dengan adanya KPN, nelayan layak memohon elaun sara hidup nelayan atau ESHN sebanyak RM300 sebulan dan subsidi minyak untuk meringankan beban mereka.

“Nelayan tradisi turut diberikan latihan dan insentif untuk memantapkan pengetahuan dan kecekapan dalam aktiviti penangkapan ikan,” katanya.

Selain itu katanya, pembangunan industri hiliran berasaskan produk perikanan turut dipergiatkan di semua daerah bagi membantu pengusaha produk berasaskan perikanan sebagai sokongan kepada golongan nelayan kecil dan tradisi.