Peralihan Pengurusan SAFA Cara ‘Koboi’

KOTA KINABALU : Perlantikan beberapa pemimpin baharu dalam Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), baru-baru ini, dipercayai tidak sah kerana tidak mematuhi prosedur sepatutnya yang termaktub dalam perlembagaan persatuan berkenaan.

Sumber dalaman SAFA berkata, sejak perletakan jawatan Datuk Peter Anthony sebagai presiden, September lalu, kebanyakan Ahli Majlis Tertinggi (AMT) yang sah dalam persatuan itu diketepikan dalam banyak hal termasuk soal memilih kepimpinan baharu.

“Kita sebenarnya mahu melihat SAFA terus maju tetapi apabila perlantikan beberapa pemimpin baharu dilihat dibuat dengan cara ‘koboi’ ini tidak betul, kita faham peralihan tampuk pemerintahan kerajaan negeri memberi kesan kepada SAFA dan itu harus diakui.

“Tetapi cara pengurusan terhadap SAFA selepas perletakan jawatan Datuk Peter dibuat oleh dua tiga individu tanpa memikirkan soal peraturan, perlembagaan dan undang-undang,” katanya.

Sumber itu memberitahu, pemangku jawatan presiden sepatutnya memanggil kesemua AMT untuk membuat keputusan selanjutnya yang difikirkan untuk persatuan termasuk dalam soal memilih pemimpin-pemimpin baharu.

“Bagaimanapun hanya AMT tertentu yang dipanggil, sedangkan AMT lain yang dipilih secara sah dalam mesyuarat agung tahunan lalu tidak tahu menahu segala tindak tanduk yang dibuat dan tidak dipanggil langsung dalam mesyuarat..

“Persoalannya di sini juga bagaimana tiga jawatan penting dalam persatuan boleh diisi sedangkan perkara itu hanya boleh dibuat oleh presiden dan bukannya pemangku selain perlu mendapat persetujuan majoriti AMT yang sah,” katanya.

Baru-baru ini, pemangku presiden SAFA, Datuk Rahman Zakaria mengumumkan Datuk Verdon Bahanda dilantik sebagai

Pengarah merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah Football Club (FC) Sdn Bhd.

Selain itu, turut diumumkan Presiden Keningau FA Rafie Robert sebagai Setiausaha Agung SAFA yang baharu, manakala Naib Presiden FAM Joehari Ayub pula selaku Bendahari.

“Bukanlah mahu dinafikan kebolehan pemimpin-pemimpin baharu yang dilantik, kita menghormati mereka dan yakin mereka boleh menjalankan tugas dengan baik tetapi sekurang-kurangnya biarlah urustadbir persatuan dan perlantikan dibuat dengan cara profesional, dan mengikut perlembagaan SAFA… ini bukan zaman ‘koboi’,” kata sumber itu lagi.