Peralihan Kuasa Perdana Menteri Mesti Dengan Cara Baik – Anwar

282

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KIMANIS: Isu mengenai masa paling sesuai untuk peralihan kuasa Perdana Menteri perlu dibincang dan diselesaikan secara baik.

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peralihan kuasa itu perlu diselesaikan secara baik antara beliau, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad serta Pakatan Harapan (PH).

“Sepertimana saya katakan sebelum ini, ia harus diurus dengan baik. Tun Mahathir banyak pengalaman dan banyak berjasa, ada permuafakatan dalam janji kita.

“Sebaiknya ia dilakukan dengan baik dan saya tidak setuju sekiranya proses itu tidak dilakukan secara aman dan teratur,” katanya ketika ditanya mengenai peralihan kuasa Perdana Menteri, di sini semalam.

Beliau berkata demikian semasa Ceramah Perdana di Dataran SEDCO Saga-Saga, Kampung Pimping, Membakut.

Ditanya adakah beliau setuju Tun harus meletak jawatan pada Mei ini seperti dikatakan pemimpin PKR, Ahli Parlimen Port Dickson ini berkata, perkara itu perlu dibincangkan secara baik.

“Saya faham mereka komited dengan persefahaman yang telah dipersetujui dahulu. Tapi, saya rasa ia harus diselesaikan secara baik dalam PH. Ini adalah pendirian Tun maka, ia tidak seharusnya ditafsir dalam apa juga cara,” ujarnya.

Mengenai masa paling sesuai untuknya memegang jawatan pemimpin nombor satu negara itu, Anwar berkata, seperti dikatakannya, perkara itu perlu diselesaikan dengan baik antara semua pihak terlibat kerana beliau sudah banyak memberi sokongan kepada Tun.

Kemarin, Mahathir menyatakan kesediaan untuk melepaskan jawatannya serta-merta jika diminta berbuat demikian oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

Katanya, perkara itu perlu diputuskan secara bersama dengan semua parti dalam PH. Jika empat parti dalam PH mahu beliau berundur sekarang, beliau sedia untuk berundur.