Peralihan Kerajaan Negeri Cukup Dinamik – Hashim Paijan

121

KOTA KINABALU: Tempoh peralihan kerajaan negeri berlaku cukup dinamik dengan perubahan positif secara berstruktur, kata bekas Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) Datuk Hashim Paijan.

Menurut beliau tempoh peralihan itu berlaku selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 menyaksikan kemasukan personaliti baharu dalam pentadbiran kerajaan negeri khususnya membabitkan menteri dan pembantu menteri baharu dan beberapa ketua eksekutif dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Ini memberi suntikan baharu dalam pengurusan dan pentadbiran kerajaan negeri yang saya lihat ketika ini stabil..diharapkan negeri ini akan terus maju dibawah pimpinan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan kunjungan hormat kepada Mohd Shafie di pejabatnya di sini, hari ini.

Ini bersempena persaraan wajib beliau pada Jumaat lepas dan Hashim merupakan SKN pertama di bawah kerajaan negeri baharu pimpinan Mohd Shafie.

Hashim berkhidmat selama 37 tahun dalam perkhidmatan awam negeri dan menjawat jawatan SKN selama setahun empat bulan.

Beliau berkata penjawat awam harus memberikan perkhidmatan secara berdedikasi dan integriti serta penuh ikhlas.

Ditanya perancangan beliau selepas ini, Hashim berkata selepas berkhidmat selama 37 tahun sudah tentu beliau ingin berehat terlebih dahulu dan melakukan banyak aktiviti kegemarannya yang ditinggalkan disebabkan kesibukan sebagai penjawat awam sebelum ini.

“Beberapa perkara akan saya lakukan terutama kegemaran saya memancing di laut dalam yang tidak saya lakukan sejak 12 tahun lepas. Bulan Mac tahun depan saya sudah membuat tempahan untuk pergi memancing di laut dalam.

“Banyak juga buku yang saya beli tidak sempat dibaca dan kini saya sudah bersara dan ada banyak masa untuk membaca buku,” kata Hashim.