Pepustakaan Islam Sabah Pertama Dijangka Beroperasi Tahun Depan

Uda menyampaikan sijil penyertaan kepada salah seorang peniaga yang menyertai gerai jualan.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Perpustakaan Islam Negeri Sabah yang pertama dijangka akan mula beroperasi pada awal tahun hadapan apabila segala proses diperlukan selesai.

Pembantu Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Datuk Uda Sulai berkata, proses pembinaan bangunan Perpustakaan Islam ini sudah siap namun, ia masih belum diserahkan kepada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).

Beliau berkata, apabila semuanya sudah teratur mungkin perpustakaan yang terletak di perkarangan Majis Negeri Sabah itu boleh beroperasi seperti yang dicadangkan.

“Kita berharap menjelang awal tahun hadapan, perpustakaan ini sudah boleh beroperasi,” katanya ketika ditanya mengenai perkembangan Perpustakaan Islam Sabah.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Sabah, di Wisma Muis, di sini pada Khamis.

Pepustakaan Islam Sabah yang pertama itu dibina dengan kos bernilai RM3juta dan ia juga akan menempatkan Bazar Al-Madinah bagi menempatkan kira-kira 40 kios atau gerai untuk membolehkan usahawan Islam berniaga.

Pembinaan perpustakan itu akan menempatkan kaligrafi Islam, buku serta kitab berkaitan agama dari seluruh dunia. Ia dilihat akan menjadi rujukan masyarakat antarabangsa.

Menyentuh tentang majlis itu, Uda berkata, program itu adalah program tahunan yang diadakan bagi memilih pemenang yang akan mewakili Sabah di peringkat kebangsaan.

Katanya, tahun ini Sabah sekali lagi akan menjadi tuan rumah penganjuran Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan yang akan diadakan pada 14 Februari 2020.

“Itu satu penghormatan kepada negeri sabah kerana sudah lama kita tidak menjadi tuan rumah. Maka, Sabah akan mengalu-alukan peluang ini untuk menjadi tuan rumah.

“Kita akan buat yang terbaik. Sekiranya tahun-tahun sudah ada kelemahan dalam penganjuran maka, tahun ini kita akan perbaiki agar penganjuran kali ini lebih baik,” ujarnya.

Majlis tilawah peringkat negeri itu memperlihatkan wakil 43 peserta qari dan qariah mewakili setiap daerah telah mengambil bahagian. Untuk peringkat akhir pula sebanyak 14 peserta qari dan qariah mengambil bahagian.

Terdapat juga gerai-gerai pameran dan jualan yang dibuka sempena majlis berkenaan.