Penyertaan Anita Bolehkan Warisan Miliki 30 Kerusi DUN Sabah

4994

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tandek Datuk Anita Baranting mengetuai 50 Skuad Tandek termasuk pemimpin dan ahli Parti Bersatu Sabah (PBS), MCA dan Umno menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan), di sini pada Rabu.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal melihat penyertaan Anita dalam Warisan akan membolehkan kesinambungan pembangunan di kawasan DUN Tandek dapat diteruskan.

Beliau juga mahu pemimpin parti agar kurangkan bermain politik dan memberi fokus kepada usaha membantu dan memberi perkhidmatan yang diperlukan rakyat.

“Kita akan pastikan masyarakat di peringkat akar umbi dapat dibantu dari segi kemudahan asas dan perkhidmatan yang diperlukan semampu yang boleh.

“Bagi pihak parti dan komponen parti yang lain, kami mengalu-alukan penyertaan Adun Tandek ke dalam Warisan.

“Dengan kesepaduan yang terhasil ini akan membantu kita untuk terus memperjuangkan dan mempertahankan hak-hak Sabah, ” katanya ketika ditemui semasa Sidang Media, di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS).

Mohd Shafie berkata, beliau akan memaklumkan jentera Warisan, Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Bersatu (Upko), PKR dan DAP di peringkat DUN Tandek supaya membantu Anita bagi membela rakyat di kawasan berkenaan.

Sementara itu, Anita yang menjadi ahli PBS sejak 34 tahun lalu berkata, keputusan menyertai Warisan itu atas kerelaan sendiri dan tidak dipengaruhi oleh sesiapa.

”Saya memikirkan perkara ini enam bulan selepas Pilihan Raya Umum bagi melihat sendiri pembawaan dan penerimaan terhadap parti pemerintah ini.

”Skuad Tandek telah menjalankan tinjauan terhadap penerimaan rakyat kepada kerajaan pimpinan Warisan. Hasil yang baik telah diperolehi dan kami sepakat untuk menyertai Warisan.

”Kami membuat keputusan itu setelah melihat Warisan selaku kerajaan yang mempunyai tujuan dan matlamat yang begitu ikhlas membantu rakyat dan membangunkan Sabah,” jelasnya.

Dengan penyertaannya dalam Warisan, Anita meletakkan semua jawatannya dalam PBS berkuatkuasa serta merta.

Beliau merupakan Ketua Wanita PBS Sabah selama enam tahun dan juga Timbalan Ketua Bahagian Tandek.

Anita yang menjadi Adun PBS selama dua penggal ini berkata, beliau tidak perlu memaklumkan keputusan itu kepada kepimpinan PBS kerana dibawah perlembagaan parti, apabila seorang pemimpin sudah menyokong parti lain secara automatiknya keanggotaannya akan terbatal.

Menurutnya, beliau percaya rakyat di peringkat akar umbi menerima keputusannya itu dengan baik kerana ia akan membawa pembangunan di kawasan DUN Tandek.

”Kami mahu meneruskan khidmat kami untuk membantu kerajaan dalam semua aspek pembangunan di negeri ini termasuk di kawasan Tandek.

”Keputusan ini juga bagi memastikan rakyat di kawasan saya dapat menikmati pembangunan yang berterusan.

”Atas dasar peduli rakyat dan tidak mahu meremehkan masa yang baik untuk berkhidmat kepada rakyat dan kami bersedia mengerahkan kudrat untuk mengerakkan segala kemampuan dan tenaga untuk menyatupadukan rakyat agar kewujudan parti tempatan ini terus relevan di hati rakyat,” jelasnya.

Anita adalah Adun Barisan Nasional (BN) kesembilan yang menyertai Warisan bagi membolehkan parti itu kini mempunyai 30 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah. Secara keseluruhan parti kerajaan dibawah pimpinan Warisan bersama PKR, DAP dan Upko kini mempunyai 47 kerusi termasuk lima Adun dilantik.

Lapan Adun lain yang meninggalkan parti BN bagi menyertai Warisan adalah Datuk Abdul Muis Picho (Sebatik); Datuk Hamisa Samat (Tanjong Batu); Jamawi Jaafar (Kemabong); Datuk Saddi Abdul Rahman (Sukau); Datuk Bolkiah Ismail (Pitas); Datuk Musbah Jamli (Tempasuk); Datuk Masiung Banah (Kuamut); Datuk Osman Jamal (Balung).