Penyerahan Kuasa Kepada Sabah Selaras MA63 – Shafie Apdal

KOTA KINABALU: Parti Warisan (Warisan) menyifatkan pengumuan penyerahan kuasa meluluskan projek pembangunan kepada Sabah dan Sarawak adalah selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Presiden Warisan, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, pengumuman yang dibuat Perdana Menteri itu menunjukkan komitmen kerajaan Persekutuan untuk memartabatkan MA63.

“Ini adalah satu berita baik dan pihak kami amat mengalu-alukan pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengenai keputusan Kabinet Persekutuan mengenai beberapa perkara berkaitan MA63.

“Antara perkara itu adalah jaminan bahawa pemberian khas kepada Sabah dan Sarawak berdasarkan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan akan ditingkatkan dan segala keputusan berhubung projek bernilai RM50 juta ke bawah di Sabah dan Sarawak diputuskan oleh negeri masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Semporna itu berkata, Warisan menghargai keprihatinan Perdana Menteri terhadap impian penduduk Sabah yang sudah lama ingin melihat Perjanjian Malaysia 1963 dilaksanakan.

Dalam mesyuarat Kabinet Persekutuan hari ini, kerajaan bersetuju menyerahkan kuasa meluluskan hampir keseluruhan projek pembangunan bernilai sehingga RM50 juta kepada pentadbiran kerajaan negeri Sabah dan Sarawak.

Anwar berkata, langkah itu bagi memastikan mana-mana keputusan untuk pembangunan dapat dibuat segera tanpa perlu kata putus dari Putrajaya.

“Walaupun peruntukan besar diberikan tetapi peruntukan itu tidak dapat dipenuhi kerana kerenah pentadbiran mengikut peraturan biasa yang terpaksa merujuk kepada Persekutuan.

“Jadi kita sudah putuskan dan Kementerian Kewangan bersetuju untuk menetapkan mana-mana projek bawah RM50 juta diserahkan hampir sepenuhnya kepada Sabah dan Sarawak,” katanya.