Penyerahan Geran Tanah Bukan Untuk Dipolitikkan – Loretto

LORETTO PADUA

KOTA KINABALU : Parti Warisan Sabah (Warisan) membidas kenyataan Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang mendakwa Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal hanya menumpang nama atas segala usaha kerajaan Barisan Nasional (BN) Sabah.

Joniston Bangkuai tidak seharusnya mempertikai usaha Mohd Shafie dalam mempermudahkan urusan penduduk kampung dengan menyerahkan geran tanah yang ditunggu-tunggu selama berpuluh tahun lamanya.

Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto Padua Jr berkata, majlis penyerahan geran tanah di Keningau itu adalah bukti keprihatinan Ketua Menteri dengan nasib dan masa depan kaum Kadazan Dusun Murut Rungus (KDMR).

Ini juga membuktikan beliau (Mohd Shafie) mampu melaksanakan tugas yang diamanahkan sebagai Ketua Menteri dengan baik.

“Tindakan mengeluarkan geran-geran tanah Native Title (NT) yang dilakukan oleh kerajaan negeri pimpinan Warisan Plus adalah seiring dengan manifesto pilihanraya Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Warisan. Maka, usaha ini tidak boleh disamakan dengan idea PANTAS yang telah dilhamkan oleh Musa Aman ketika zaman pemerintahan BN Sabah pada 2011.

“Ini kerana sebelum 2011, orang-orang kampung sudah cukup bosan dan marah dengan kerajaan BN Sabah kerana proses pendaftaran dan pemberian geran tanah NT kepada yang layak sangat lambat sehingga ada yang terpaksa menunggu hampir 40 tahun lamanya seperti beberapa kes di Kiulu.

“Fikirkanlah, Musa menjadi Ketua Menteri pada 2003 dan PBS kembali kepada BN pada tahun 2002 namun, mereka hanya terfikir untuk membantu orang-orang kampung mendapat geran tanah NT selepas tujuh dan lapan tahun berkuasa di Sabah melalui Program Perkhidmataan Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS) dan itupun selepas orang-orang kampung marah dan bosan dengan BN,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Malah, ada antara pemohon yang tidak sempat menerima geran tanah kerana sudah meninggal dunia. Adakah ini yang dibanggakan oleh Joniston?.

“Kalau orang-orang kampung tidak dibantu oleh laporan-laporan akhabar ketika itu yang menyiarkan keluhan dan rayuan mereka, Musa tidak mungkin akan wujudkan PANTAS,” jelasnya.

Loretto juga mengatakan bahawa bukan semua yang dilakukan oleh kerajaan Warisan sekarang adalah idea asal Kerajaan BN.

“Bukan semua yang telah dilaksanakan oleh BN diteruskan oleh Warisan kerana sesetengahnya tidak mendatangkan faedah kepada rakyat Sabah. Misalnya pemberian geran komunal dan pemberian lesen konsesi balak yang berleluasa kepada kroni dengan tempoh kontrak yang lama.

“Namun, ada juga pembangunan yang dibuat oleh keerajaan BN dahulu terpaksa diteruskan kerana kerajaan sudah berbelanja besar untuk tujuan tersebut seperti pembinaan Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

“Akan tetapi kerajaan Warisan Plus terpaksa membuat perubahan dan penambahbaikan dengan mengutamakan nilai tambah keatas beberapa perancangan awal kerajaan BN Sabah yang rata-ratanya hanya bertujuan untuk menguntungkan kroni-kroni BN dan bukannya orang-orang kampung,” jelasnya.

Menurutnya, pemberian geran tanah NT dibawah PANTAS dikatakan idea Musa namun, mereka tidak pernah membuat sebarang cadangan untuk memberi nilai tambah seperti memperkenal pertanian bersepadu yang boleh dilaksanakan bersama oleh penerima-penerima geran tanah ini.

Katanya, pertanian bersepadu itu seharusnya diperkenal melalui Korporasi Pembangunan Desa (KPD) dan Jabatan Pertanian kerana ia sudah pasti akan menguntungkan semua pihak dan menaikkan taraf hidup rakyat luar bandar.