Penyeludupan Manusia Mesti Dibanteras Bagi Mengelak Kemasukan Pengganas

696
Musa, dua dari kiri, mempengerusikan mesyuarat JKKN Sabah di Wisma Innoprise hari Selasa.
Musa, dua dari kiri, mempengerusikan mesyuarat JKKN Sabah di Wisma Innoprise hari Selasa.

KOTA KINABALU – Semua agensi keselamatan di Sabah khususnya di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) diminta terus mengukuhkan lagi kerjasama dan koordinasi bagi menangani sebarang ancaman, terutama jenayah rentas sempadan, pencerobohan, penyeludupan dan penculikan.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman meminta agensi keselamatan berkenaan supaya bertindak lebih proaktif dan meningkatkan keupayaan risikan termasuk mengukuhkan kerjasama dengan agensi keselamatan negara jiran.

“Kita peka dengan perkembangan terkini di negara jiran dan sentiasa bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan rakyat Filipina menyusup masuk ke negeri ini berikutan tindakan ketenteraan kerajaan Filipina memerangi kumpulan pengganas dan penculik di kawasan Selatan Filipina.

“Kerajaan negeri dan pusat bersama-sama dengan semua pasukan dan agensi keselamatan tidak akan berkompromi dengan apa juga cubaan dan ancaman keselamatan.

“Kami sentiasa bersiap sedia dan dalam keadaan siaga untuk mengambil segala tindakan bagi memastikan keselamatan negeri dan kesejahteraan rakyat sentiasa terjamin,” katanya dalam kenyataan di sini hari Selasa.

Musa, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) Sabah, berkata keupayaan risikan ramalan harus ditingkatkan lagi untuk mengenal pasti bentuk ancaman peringkat awal serta mengatasi dan menyelesaikannya dengan lebih pantas dan berkesan.

Beliau berkata aktiviti penyeludupan khususnya penyeludupan manusia juga harus dibanteras sepenuhnya bagi mengelak kemungkinan kemasukan pengganas yang menyamar sebagai orang biasa.

“Sekatan perlu dipertingkat di kawasan-kawasan yang dikenal pasti sebagai pintu masuk penyeludup dan tindakan secara holistik perlu diambil oleh semua pihak berkuasa,” katanya.