Penyelesaian Jangka Panjang Tangani Isu Pengemis Warga Asing Dikenalpasti

Gambar hiasan dari internet

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan mengenalpasti pendekatan terbaik dalam menangani isu pengemis jalanan dalam kalangan warga asing yang dilihat menjejaskan imej bandaraya yang menjadi tumpuan pelancong asing ini.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew berkata, langkah penyelesaian jangka panjang akan dibincangkan dengan jabatan berkaitan agar isu pengemis jalanan atau peminta sedekah melibatkan warga asing ini dapat ditangani secara tuntas.

Beliau berkata, jika perlu mendapatkan kerjasama Pejabat Kedutaan negara jiran seperti Filipina dan Indonesia, kerajaan akan membincangkan perkara itu.

”Isu berkaitan pengemis jalanan ini perlu ditangani dengan baik. Ia kerana setiap kali mereka ini ditangkap Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan diserahkan kepada agensi tertentu seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, mereka boleh kembali meminta sedekah pada bila-bila masa di tempat lain.

”Maka, sudah tiba masanya kita mencari kaedah penyelesaian jangka panjang kerana jika mereka ini dibiarkan berterusan meminta sedekah, ia akan menjejaskan imej Bandaraya Kota Kinabalu.

”Ia seolah-olah mencerminkan rakyat Sabah sangat miskin sehingga terpaksa meminta sedekah di tepi-tepi jalan. Walau hakikatnya mereka ini bukan warga tempatan,”katanya ketika ditemui semasa Majlis Promosi Ramadan bersama Chef Fazley ‘From Rembau to KK’, di sini pada Selasa.

Menurutnya, tindakan pengemis wanita membawa anak kecil yang dibiarkan terbaring di tepi jalan akan memberikan imej buruk sekiranya pelancong melihat keadaan sebegini.

Dalam perkembangan lain, diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung Parti Maju Sabah (SAPP) Richard Yong yang mahukan alasan jelas berhubung pemecatan Pengurus Besar Lembaga Pelancongan Sabah (STB) Suziani Sabdin Ghani dimaklumkan kepada umum, Christina berkata, perkara itu melibatkan isu dalaman dan pentadbiran STB.

”Saya percaya lembaga pengarah STB mempunyai alasan mereka sendiri. Saya tidak mahu campur tangan dan saya tidak perlu mengumumkan alasan pemecatan itu.

”Bagi saya, tidak perlu untuk saya menjelaskan keadaan yang berlaku secara terperinci kerana lembaga pengarah sudah membuat keputusan dan saya hormati keputusan itu. Saya tidak mahu memberi komen lanjut kerana itu keputusan pentadbiran dan ianya melibatkan isu dalaman STB,” jelasnya.

Katanya, fokus kementerian itu pada masa kini adalah untuk meneruskan usaha mempromosikan Sabah kepada pelancong asing bagi memastikan sasaran kedatangan 4 juta pelancong dapat dicapai menjelang hujung tahun ini.

”Dengan adanya penerbangan langsung China Airlines ke Tawau, kita mahu fokuskan kepada usaha promosi cuti-cuti Tawau.

”Saya mahu pastikan Sabah menerima lebih 4juta pelancong pada tahun ini,” ujarnya.