Penyamun Larikan RM50,000 Milik Peniaga Wanita Tawau – Polis

log-cop

Untuk tujuan ilustrasi sahaja.
Untuk tujuan ilustrasi sahaja.

TAWAU – Seorang ahli perniagaan wanita, berusia 43 tahun, kerugian RM50,000 setelah beg yang mengandungi wang tersebut dan diletakkan di bawah tempat duduk kereta dilarikan seorang lelaki tidak dikenali petang semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Fadil Marsus berkata, ketika kejadian pada jam 3.30 petang di belakang sebuah pasaraya itu, wanita berkenaan sedang menunggu anaknya yang keluar membeli sesuatu di sebuah kedai.

Tiba-tiba, katanya hari Selasa, seorang lelaki datang dan bertindak memecahkan cermin kereta wanita di sebelah kiri bahagian kerusi penumpang hadapan.

Suspek kemudian mengambil beg tangan wanita itu dari bawah kerusi bahagian pemandu meskipun mangsa berusaha menghalangnya.

Katanya, suspek kemudian melarikan diri ke arah seorang lagi suspek yang sedang menunggu di atas sebuah motosikal warna merah sebelum kedua-duanya melarikan diri.

Fadil berkata ketika melakukan jenayah itu, suspek disyaki berumur dalam lingkungan 20-an dengan ketinggian lebih kurang 170 cm dan memakai baju berwarna biru, berseluar jeans gelap, berkulit cerah dan berambut pendek.

Katanya sebelum kejadian wanita berkenaan baru sahaja mengeluarkan wang itu dari sebuah bank untuk menguruskan pembayaran barang perniagaan yang diusahakannya.