Penyamun Cuba Lari Berjaya Diberkas Di Sembulan

4916
Habibi Majinji melihat kenderaan milik penyamun yang berjaya diberkas di Sembulan.

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Tindakan seorang penyamun melarikan diri daripada polis gagal apabila suspek yang menyamun seorang wanita kelmarin berjaya diberkas di Sembulan pada pukul 3 petang ini.

Lelaki tempatan itu merupakan suspek utama yang menyamun dan mencederakan seorang wanita berumur 29 tahun di dalam rumah mangsa di Taman Hiburan, Jalan Penampang di sini Ahad lalu.

Sebelum diberkas, pihak polis yang menjalankan siasatan dan memburu suspek berjaya mengesannya di sebuah pusat beli-belah di Kota Kinabalu lalu cuba menahannya.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, suspek yang menaiki sebuah Perodua Kancil bertindak agresif cuba melanggar anggota keselamatan berkenaan namun gagal lalu segera melarikan diri.

“Anggota kami kemudiannya mengejar kenderaan suspek dan melepaskan beberapa tembakan ke arah tayar kereta itu.

“Walaupun tayarnya telah pecah, suspek tetap memandu kenderaan berkenaan sebelum hilang kawalan dan terjunam ke dalam Sungai Sembulan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurut beliau, suspek yang cedera akibat insiden itu masih cuba melarikan diri tetapi berjaya diberkas dan telah dihantar ke hospital berdekatan untuk menerima rawatan dengan kawalan ketat.

Pasukan forensik memeriksa kenderaan suspek.

Katanya, ketika ditahan suspek yang mempunyai tiga rekod jenayah lampau didapati telah mewarnakan rambutnya dan mengubah penampilan bagi mengelakkan dia dikesan pihak berkuasa itu.

Habibi berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan dan samun bersenjata.

Mengulas mengenai kejadian samun itu, kata Habibi, dalam kejadian pada pukul 2 pagi kelmarin, suspek memasuki rumah mangsa dan menyamun beg tangannya.

“Mangsa cuba melawan tetapi telah dipukul di kepala oleh suspek dengan menggunakan senjata tumpul sehingga cedera dan masih menerima rawatan,” jelas beliau.

Tambah Habibi, penahanan suspek telah menyelesaikan kes berkenaan dan turut mengucapkan tahniah kepada semua anggota yang terlibat kerana berjaya menahan suspek dalam tempoh tidak sampai 48 jam.