Penutup Mulut, Hidung Di Kota Kinabalu Juga Habis Dijual

KOTA KINABALU: Penutup mulut dan hidung, terus menjadi ‘rebutan’ masyarakat di seluruh negara sebagai langkah pencegahan daripada dijangkiti 2019 Novel Koronavirus (2019-nCoV).

Tidak terkecuali di Kota Kinabalu, Sabah, apabila tinjauan Bernama di beberapa kedai, farmasi dan Kedai Serbaneka 24 jam di sini mendapati topeng-topeng itu laris sehingga ada yang telah kehabisan stok sejak minggu lepas.

Seorang jurujual di Kedai Serbaneka 24 jam yang hanya ingin dikenali sebagai Andy berkata penutup mulut dan hidung di premisnya cepat habis kerana kedudukan kedai itu yang strategik, di lokasi tumpuan pelancong.

“Di sini stok cepat habis sebab kawasan laluan pelancong dan orang ramai. Buat masa sekarang kami tiada stok dan mungkin minggu depan stok baharu akan sampai,” katanya kepada Bernama, di sini, hari ini.

Harga bagi penutup hidung dan mulut itu dijual antara RM0.70 dan RM5 sekeping bagi yang mempunyai corak manakala harga untuk sekotak penutup yang mengandungi 10 keping dijual RM7, 20 keping (RM10) dan 50 keping (RM30).

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ini menyarankan masyarakat memakai penutup mulut dan hidung sebagai langkah pencegahan daripada dijangkiti 2019-nCoV, selain mencuci tangan dengan bahan pencuci tangan, elak mengunjungi tempat tumpuan ramai dan bergaul rapat dengan individu yang menunjukkan simptom.

Semalam, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengingatkan peniaga bahawa tindakan tegas akan diambil sekiranya ada yang menaikkan harga tidak munasabah bagi penutup mulut dan hidung susulan penularan virus itu.