PENURUNAN KETARA INDEKS JENAYAH DI LABUAN

LABUAN: Indeks jenayah untuk enam bulan pertama tahun ini di Wilayah Persekutuan Labuan menunjukkan penurunan ketara kepada 28.9 peratus atau 91 kes daripada 128 kes tempoh yang sama tahun lalu, sebahagiannya disumbang oleh Perintah Kawalan Pergerakan yang mula dikuatkuasakan pada 18 Mac lepas.

Ketua polis Labuan Supt. Muhamad Farid Admad berkata kes pecah rumah turun kepada 11.76 peratus iaitu daripada 34 kes tahun lalu (bermula Januari hingga Jun, kepada 30 kes tempoh yang sama tahun ini.

“Dengan operasi sekatan jalan di tiga jalan utama dan pemantauan dikebanyakan kampung dan taman-taman perumahan, kes pecah rumah menurun, dan kebanyakan kes itu direkodkan sebelum PKP,” katanya hari ini.

Jenayah kekerasan direkodkan sebanyak sembilan kes, manakala jenayah harta benda sebanyak 82 kes, manakala jenayah jalanan tidak ada kes direkodkan tahun lalu dan setakat tahun ini.

Beliau mengingatkan warga tempatan agar terus menjadi mata dan telinga pihak berkuasa tempatan dan polis menyalurkan maklumat elemen-elemen jenayah dipersekitaran masing-masing.