Penunggang, Pembonceng Motosikal Maut Di KM53 Jalan Beluran-Telupid

1930
Seorang lelaki yang maut terhumban ke tepi jalan raya. Gambar ihsan Hazsyah Abdul Rahman/BHarian

BELURAN: Dua pemuda maut, selepas motosikal dinaiki mereka berlanggar dengan sebuah kereta pacuan empat roda di Kilometer 53 Jalan Beluran-Telupid, Khamis petang.

Mangsa, Sudirman Muhammad, 27, dan rakannya yang membonceng, dikenali sebagai Fendi, mati di lokasi kejadian susulan kecederaan parah pada seluruh anggota badan.

Motosikal terlibat sedang dari arah Telupid menuju ke Sandakan dan kereta pacuan empat roda jenis Nissan Navara yang dipandu seorang anggota polis pula datang dari arah Sandakan menuju ke Sapi.

Ketua Polis Daerah Beluran Supt Sivanatan Velautham berkata kejadian berlaku kira-kira 3.20 petang berkata anggota polis bertugas di Ibu Pejabat Polis Beluran itu bagaimanapun tidak mengalami kecederaan.

Sudirman dan Fendi, yang tiada dokumen pengenalan diri, mati di tempat kejadian. mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Beluran untuk bedah siasat, kata Supt Sivanatan dalam kenyataan, hari Jumaat.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.