Penunggang Motosikal Maut, Suspek Serah Diri

66
Motorsikal milik mangsa yang tercampak ke bahu jalan.

Oleh ARDYHANSAH AMAT
TAWAU: Seorang lelaki warga Indonesia maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah kenderaan Proton Saga yang membuat pusingan U secara melulu di Batu 3, Jalan Apas, tengah malam tadi.

Dalam kejadian pukul 12.16 tengah malam itu, mangsa, 20, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di beberapa anggota badan kesan rempuhan sebelum tercampak ke baju jalan.

Difahamkan, mangsa yang tidak bekerja itu dalam perjalanan pulang ke Balung dari arah bandar.

Sebaik tiba di lokasi kejadian, sebuah kenderaan yang dipandu seorang lelaki, 37, dari arah bertentangan secara tiba-tiba  membuat pusingan U menyebabkan mangsa tidak sempat mengelak dan berlakunya rempuhan.

Kenderaan yang dipandu suspek terbabas ketika cuba melarikan diri.

Akibat rempuhan itu, mangsa dan motorsikalnya tercampak ke bahu jalan.

Menurut saksi, suspek dikatakan cuba melarikan diri dengan memecutkan kenderaannya meninggalkan mangsa.

Bagaimanapun, tindakannya itu gagal, apabila kenderaan yang dipandu suspek pula hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan sebelum merempuh kenderaan lain, kira-kira 800 meter dari lokasi kemalangan pertama.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua lelaki itu tidak berada di bawah pengaruh alkohol dan kemalangan tersebut berpunca daripada kecuaian suspek yang membuat pusingan U secara melulu tanpa memastikan keadaan jalan selamat.

Lokasi kejadian.

“Mangsa dihantar ke Hospital Besar Tawau untuk bedah siasat, dan disahkan meninggal dunia,” katanya.

Selain itu, Peter mengesahkan suspek telah menyerahkan diri ke Ibu pejabat Polis Daerah  pada pukul 9 pagi ini.

“Suspek mengalami kecederaan patah bahu kanan akibat rempuhan kedua.

“Bagaimanapun, sehingga kini, kami tidak menerima sebarang aduan daripada kenderaan ketiga yang terbabit dalam kemalangan itu,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.