Dalam kejadian kira-kira 8 malam itu, mangsa, Muhammad Taip Rahim, 25, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, Deputi Superintendan Jo Ak Hang berkata, kemalangan berlaku membabitkan sebuah kenderaan dan motosikal yang saling mengenali.
Sebelum kejadian, kedua-dua kenderaan dalam perjalanan dari arah Kota Kinabalu menuju ke Kampung Dumpil Putatan untuk melihat sebuah kenderaan yang ingin dibeli.
“Namun semasa tiba di lokasi kejadian, pemandu kenderaan tiba-tiba menukar laluan dari lorong kiri ke lorong paling kanan. Penunggang motosikal yang berada di lorong tengah juga cuba menukar laluan ke lorong paling kanan.
“Bagaimanapun, tindakan kedua-dua mereka menyebabkan berlaku pergeseran sehingga menyebabkan penungang motosikal terbabas dan merempuh pembahagi jalan,” katanya.
Pergeseran itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan pada bahagian muka dan badan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan paramedik Hospital Queen Elizabeth (HQE) pada 8.25 malam.
Menurutnya, mangsa tidak disyaki mabuk namun, sampel darah akan diambil semasa bedah siasat dijalankan. Turut diambil sampel darah pemandu kenderaan berusia 34 tahun untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi analisis alkohol dan dadah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.