Penternakan Ikan Keli, Perusahaan Bilis Pilihan Siswazah Kejuruteraan

1472
Melvin bersama pegawai Jabatan Perikanan Labuan Iryanto Saifudin (kiri) di kilang pemprosesan bilis di Belukut

LABUAN: Bergelar seorang jurutera sememangnya menjadi impian pelajar jurusan kejuruteraan sebaik tamat pengajian, bagaimanapun, keputusan Melvin Teo untuk meneruskan perusahaan perikanan bapanya tidak sedikitnya menimbulkan kekesalan, sebaliknya siswazah muda ini agak selesa dengan meraih pendapatan lebih RM16,000 sebulan.

Pada mulanya, Teo, 27, lulusan kejuruteraan awam Universiti Malaysia Sabah (UMS) 2018 diharapkan keluarga akan menjadi jurutera sebaik tamat pengajian.

Namun beliau memilih kerjaya yang jarang diceburi siswazah muda lain, walaupun baju di badan sentiasa basah dan berbau hanyir, apabila mengusahakan penternakan ikan keli Afrika serta ikan bilis di bawah syarikat TLG Maju Enterprise.

Melvin (hadapan) menunjukkan ternakan ikan keli Afrika

“Sudah semestinyalah selepas tujuh tahun belajar di universiti, akan mengimpikan kerjaya profesional namun saya tidak menyangka tidak berkesempatan melaluinya, tetapi memilih untuk meneruskan perusahaan ayah,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di kilang pemprosesan ikan bilisnya di Kg Belukut dekat sini.

Anak sulung tiga beradik ini bangun awal pagi untuk bersama-sama sembilan pekerja lain memilih saiz ikan bilis untuk proses penggredan sebelum dibungkus untuk dipasarkan. Beliau kemudian beredar pula ke kolam penternakan ikan keli untuk meninjau ternakan itu.
Teo berkata penternakan ikan keli yang baru tiga bulan dimulakan dengan 3, 500 benih yang disalurkan oleh Jabatan Perikanan pada Disember, mula dituai hasilnya pada Februari lepas dengan menjana pendapatan sekitar RM1,300 hingga RM1,500 sebulan, meskipun dipasarkan hanya di sekitar Labuan.

“Buat masa ini, bekalan ikan keli ini diperlukan di tiga restoran yang diusahakan oleh usahawan dari Semenanjung, sebab ikan keli ini antara menu kegemaran warga Semenanjung,” katanya.

Melvin (kanan) bersama pekerjanya memilih saiz bilis

Pada bulan April ini, Teo akan bekerjasama dengan Jabatan Perikanan dalam sektor pembiakan ikan keli sebagai usaha untuk memperluaskan lagi perusahaan penternakan ikan keli Afrika.

“Ia memerlukan ketabahan, kesabaran dan keberanian selain disiplin diri…apa juga pun kerjaya yang dilakukan, sekiranya berusaha dengan gigih, sudah semestinya akan membuahkan hasil,” katanya.

Pegawai Jabatan Perikanan Labuan Riyanto Saifudin berkata, Teo adalah antara siswazah awal yang menerima bantuan teknikal dan khidmat nasihat jabatan itu dalam memastikan perusahaan mereka berjalan dengan baik.

Syahirah bersama wartawan Iffah Dilaney menunjukkan sambalnya

Sementara itu, Saiyidatul Syahirah Jasney, siswazah Pengurusan Hotel dan Katering dari Politeknik Kota Kinabalu pula tidak meneruskan kerjaya dalam bidang perhotelan, tetapi memilih untuk mendalami ilmu pemprosesan makanan.

“Sebaik tamat pengajian pada 2012, minat yang mendalam dalam perniagaan saya teruskan dengan mencuba menghasilkan sambal resipi sendiri antaranya melalui sumber ikan bilis, ikan kekek dan ikan masin,” katanya ketika ditemui di kilangnya di Kg Bebuloh Laut.

Daripada modal permulaan RM50, beliau  menghasilkan tiga botol sambal dan di luar dugaannya, sambutan yang diterima sangat baik dan sejak itu, penghasilan sambal diperhebatkan serta diperluaskan melalui media sosial Facebook.

Syahirah bersama suami ketika proses pembungkusan sambal

“Alhamdulillah, selepas dua tahun ditubuhkan, syarikat yang saya usahakan bersama suami  menggunakan nama syarikat Mezra Femes Enterprise, berjaya tembusi pasaran Semenanjung, Brunei dan Singapura,” katanya.

Syahirah adalah antara siswazah Industri Kecil Sederhana (IKS) yang menerima bantuan penyediaan mesin pemprosesan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang banyak membantu memudahkan beliau dalam perusahaan itu.

Berkat daripada modal RM50 itu, beliau meniti kejayaan sehingga kini selesa dengan pendapatan bulanan lebih RM10,000 dengan memasarkan Sambal Lado Travel, Sambal Penyet Travel dan Sambal Ikan Kekek selain merancang untuk menambah satu lagi produk iaitu Sambal Ikan Masin.